Bertanding dulu di semua kerusi, baru wujudkan gabungan - Penganalisis

Romzi Ationg
Romzi Ationg
A
A
A

TUARAN - Semua parti di Sabah boleh bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang tanpa perlu membentuk gabungan terlebih dahulu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, tidak semestinya parti-parti di negeri itu perlu membentuk gabungan sebelum pilihan raya berlangsung.

Menurutnya, mereka masih boleh mewujudkan gabungan selepas PRN seperti yang dilakukan dalam Kerajaan Madani pada masa ini.

"Bagi saya, kedua-dua pendekatan (bergabung sebelum atau selepas pilihan raya) boleh diambil. Kita lihat dalam kerajaan Madani, gabungan dibentuk selepas pilihan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Romzi turut menegaskan bahawa ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya bagi membolehkan rakyat terlibat sepenuhnya dalam proses pilihan raya.

Beliau menyarankan supaya tidak ada sebarang bentuk kerjasama antara parti hanya kerana mahu memenangi pilihan raya, yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Kadang-kadang kita fikir, kenapa tidak terbuka kepada semua? Bila kita bergabung hari ini, esok mungkin berpecah lagi. Itu lebih menjadi masalah. Biarkan rakyat yang menentukan dengan sepenuhnya," ujarnya.

Mengenai kemungkinan gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan), Romzi tidak menolak bahawa spekulasi itu sudah lama berlegar di kalangan masyarakat Sabah, namun ia juga menimbulkan kekeliruan di peringkat akar umbi.

"Isu siapa yang baik untuk bergabung dan siapa yang boleh menang sudah lama dibincangkan, namun ia lebih signifikan menjelang pilihan raya. Apabila menjelang pilihan raya, parti atau wakil rakyat perlu mencari pasangan yang sesuai untuk memenangi pilihan raya," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Namun, Romzi memberi amaran bahawa isu kerjasama ini akan mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat, yang ingin tahu arah tuju politik Sabah jika kerjasama itu terbentuk.

"Bila kita turun ke padang, ada rakyat yang tertanya-tanya apa akan jadi dengan Sabah. Jika kerjasama berlaku, adakah ia akan berjaya atau sebaliknya?" kata beliau.

Beliau berharap pemimpin politik di Sabah dapat menyesuaikan masalah ini dan memberi gambaran yang jelas mengenai hala tuju negeri ini menjelang pilihan raya.

"Pada akhirnya, kita mungkin akan melihat siapa pemenangnya," tambah Romzi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!