Malaysia sumbang karpet, jamuan masjid berusia 411 tahun

Pihak pengurusan Masjid Jami Aulia Pekalongan, Indonesia bersama delegasi Malaysia. Gambar kecil: Fauzan Sasmati, Asro Kamal Rokan, Ahmad Dhananir Mutasil
Pihak pengurusan Masjid Jami Aulia Pekalongan, Indonesia bersama delegasi Malaysia. Gambar kecil: Fauzan Sasmati, Asro Kamal Rokan, Ahmad Dhananir Mutasil
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran bulan Ramadan yang bakal tiba amat bermakna bagi penduduk Islam Kelurahan Sapuro Kebulen, Indonesia apabila Masjid Jami Aulia Pekalongan berusia 411 tahun yang menjadi kebanggaan mereka menerima karpet baharu sumbangan Malaysia.

Karpet berona hijau bermotifkan sejadah Raudhah Masjid Nabawi itu, disumbang oleh Yayasan VFive, Teraju Construction Sdn Bhd dan beberapa individu dari Malaysia.

Selain sumbangan karpet, satu program makan tengahari turut berlangsung selepas solat Jumaat yang disertai lebih 1,000 jemaah.

Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Mohd Shamsuri Ghazali berkata, usaha itu membuktikan kerajaan Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang erat.

"Hubungan ini bukan sahaja daripada segi serumpun bangsa dan budaya, tetapi juga melalui dakwah Islam kedua-dua negara," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami Indonesia), Asro Kamal Rokan.

Menurut Asro, program sedemikian mampu mengukuhkan silaturahim kerana masjid bersejarah yang terletak kira-kira 361 kilometer dari Jakarta itu merupakan pusat aktiviti keagamaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Masjid Jami Aulia Pekalongan, yang dibina pada tahun 1614 itu dipilih sebagai penerima kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

Masjid tersebut dibangunkan oleh empat tokoh agamawan terkemuka iaitu Kiai Maksum, Kiai Sulaiman, Kiai Lukman, dan Nyai Kudung, yang diutus oleh Kesultanan Demak Bintoro, yang mana mereka dikenali sebagai penyebar ajaran Islam di Jawa Tengah.

Artikel Berkaitan:

Nazir dan Ketua Umum Masjid Jami Aulia Pekalongan, Ahmad Dhananir Mutasil turut menyatakan penghargaan diatas sumbangan berkenaan.

“Kami mewakili jemaah Masjid Jami Aulia mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan karpet baharu dan program jamuan makan tengahari.

“Sama-sama kita berdoa agar pemimpin kedua-dua negara terus memperkukuhkan hubungan.

"Begitu juga rakyat Indonesia dan Malaysia, harus terus memelihara kesamaan akar budaya, sejarah, agama, bahkan keturunan yang sama," katanya.

Ahli kariah Masjid Jami Aulia Pekalongan, Fauzan Sasmati, 88, pula berkata, beliau amat terharu dengan sumbangan yang diberikan.

“Sumbangan ini sudah tentu memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat Terawih dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!