'Siti Nadhirah seakan tahu ajalnya'

Siti Sarah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya ketika menunggu urusan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim pada Jumaat.
Siti Sarah (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya ketika menunggu urusan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang gadis yang maut dalam kemalangan selepas motosikal ditungganginya terlanggar memerang di Jalan Lencongan Barat, berhampiran Murthada Dakwah Care di sini seolah-olah tahu ajalnya telah tiba apabila sempat berbicara tentang kematiannya dengan kakaknya.

Kakak mangsa, Siti Sarah Anuar, 25, berkata, adiknya, Siti Nadhirah, 22, memberitahu dia merasakan dirinya akan mati jika terlibat kemalangan kali ketiga selepas mengalami dua kemalangan sebelum ini.

Katanya, Siti Nadhirah yang merupakan anak kelima dari lapan beradik berkata demikian hanya beberapa jam sebelum kemalangan itu.

"Jadi saya memarahinya kerana dia bercakap mengarut tentang kematian ketika kami dalam kereta menuju ke bandar Sungai Petani pada jam 12 tengah hari Khamis.

"Saya juga menasihatkannya supaya berhati-hati ketika menunggang motosikal bagi mengelakkan kemalangan seperti dua kali yang pernah dialaminya sebelum ini," katanya.

Siti Sarah memberitahu, selepas itu adiknya terdiam dan dalam masa sama dilihat menangis sambil menunjukkan kesan lama luka dua kemalangan yang pernah dialami di bahagian kakinya.

"Adik mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang ke rumah kami di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal," katanya.

Tambahnya, Siti Nadhirah kemudiannya memaklumkan hendak keluar bermain boling bersama rakannya di Park Avenue kira-kira jam 2.30 petang Khamis.

"Dia juga datang meminta maaf kepada saya dan berjanji akan lebih berwaspada ketika menunggang motosikal di atas jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Siti Sarah, dia menerima berita kemalangan maut melibatkan adik perempuan tidak lama kemudian sehingga menyebabkan dirinya hampir pengsan.

Katanya lagi, mereka tinggal bersama lima adik beradik bersama ibu mereka, Fadzilah Hashim, 55, yang merupakan ibu tunggal dan bekerja sebagai pembantu kedai makan.

"Ketika kejadian, adik dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar seorang rakannya di Semeling sebaik selesai bermain boling malam kejadian.

"Adik dikatakan dilanggar sebuah kereta selepas motosikal Yamaha Ego Avantis yang dia tunggang dalam keadaan terhuyung-hayang sebaik melanggar seekor memerang yang sedang melintas jalan menyebabkan dia maut di lokasi kejadian," katanya.

Bagaimanapun, Siti Sarah memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan pemergian Siti Nadhirah walaupun bersedih dengan kejadian berlaku.

Jenazah Siti Nadhirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Tunggal sejurus selesai proses bedah siasat dijalankan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!