Warga pendidikan Terengganu disaran sertai Bakep

Shafruddin (empat, kiri) diringi Idris (belakang, tiga, kanan) dan Pengetua Cemerlang SMK Bukit Kuang, Wan Mohd Salleh Wan Ismail (belakang, dua, kanan) menyampaikan kepada Nur Hazwani.
Shafruddin (empat, kiri) diringi Idris (belakang, tiga, kanan) dan Pengetua Cemerlang SMK Bukit Kuang, Wan Mohd Salleh Wan Ismail (belakang, dua, kanan) menyampaikan kepada Nur Hazwani.
A
A
A

KEMAMAN - Semua pendidikan di negeri ini diseru mendaftar sebagai ahli Badan Amal Kebajikan Warga Pendidikan Terengganu (Bakep) kerana ia akan dapat membantu meringankan beban keluarga yang ditinggalkan jika berlaku kematian.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata, pendaftaran hanya memerlukan sumbangan sebanyak RM32 setahun dan akan menikmati semua kemudahan ditawarkan badan itu.

“Setakat ini ahli yang menyertai Bakep masih lagi rendah iaitu lebih kurang 55 peratus daripada keseluruhan 30,000 warga pendidikan di seluruh Terengganu.

“Jadi saya juga minta supaya pejabat pendidikan daerah (PPD) mempromosikan lebih hebat tentang Bakep ini kerana kebelakangan ini kematian dalam kalangan warga pendidikan agak ramai hampir 30 hingga 40 kematian setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan khairat kematian dan kebajikan Bakep kepada balu pembantu operasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, Nur Hazwani Mohd Tajudin, 34, pada majlis penyerahan ringkas di sekolah itu.

Suaminya, Mohd Jafri Mohd Kassim, 34, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor kerbau yang melintas di Jalan Mak Lagam - Cheneh berhadapan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman di Chukai kira-kira jam 12.15 tengah malam, 28 Disember lalu.

Menurutnya, warga pendidikan diharap dapat menggunakan peluang itu demi meringankan beban keluarga apabila sudah tiada terutama bagi ketua keluarga.

“Saya percaya dengan sedikit sumbangan dari Bakep ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin berkata, sehingga hujung Disember lalu Kemaman merekodkan kira-kira 75 peratus ahli Bakep dan pihaknya menyasarkan untuk menambah keahlian sehingga 90 peratus pada tahun ini.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang merekodkan 100 peratus penyertaan dalam Bakep dan diharap ia dicontohi sekolah lain,” katanya.