Lebih 100,000 rakyat Sabah terima manfaat RM300 setiap bulan dari SYUKUR - Hajiji

KOTA KINABALU - Lebih 100,000 rakyat Sabah daripada golongan miskin tegar menerima manfaat menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilaksanakan kerajaan negeri pada tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebanyak RM300 disalurkan kepada rakyat setiap bulan bagi tempoh selama setahun menerusi SYUKUR.
"Kita mulai salurkan kepada mereka yang layak terima, yang miskin, miskin tegar sebanyak RM300 sebulan selama setahun.

"Ada 100,000 lebih orang yang menerima manfaatnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Mengulas lanjut, selain daripada program tersebut, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai lagi bantuan untuk dimanfaatkan rakyat di negeri ini.
"Ini termasuk pelajar-pelajar kita di institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga pelajar kita dalam Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam.
"Kita juga sekarang ini sedang merancang apa yang kita akan beri kepada rakyat pada tahun ini untuk meringankan bebanan mereka, jadi tunggu saja pengumumannya," katanya.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai majlis pelancaran yang dihadirinya, beliau berkata, Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang amat penting untuk pertumbuhan berterusan ekonomi Sabah.
"Pelancaran ini adalah satu lagi usaha kita untuk memberi keutamaan kepada pertumbuhan industri di negeri ini, jadi saya amat gembira kerana hala tuju kita selama ini demi hari ke hari semakin meningkat dan berjaya.
"Kita juga akan dapat memberi peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan dan menjana ekonomi kita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
