Agihan zakat MAIK meningkat 15 peratus
Ramai penerima dapat manfaat

AGIHAN zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meningkat sebanyak 15 peratus tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya sekali gus membuktikan kepihatinan agensi itu.
Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan kutipan zakat menggalakkan agihan yang lebih ramai kepada golongan memerlukan.
“Ia terbukti apabila jumlah agihan pada tahun lalu, RM269,417,035 berbanding tahun sebelumnya iaitu RM233,627,386.
“Zakat, wakaf dan baitulmal ini merupakan sumber kekuatan ekonomi umat Islam yang akan terus diperkasakan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara secara amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK Bagi Tahun 2024, di sini pada Khamis.
Tambahnya lagi, agihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin antara tertinggi iaitu RM101,605,419 tahun lalu.
“Jumlah agihan kepada asnaf membabitkan bantuan tetap bulanan berjumlah RM32,472,000 telah memberikan manfaat kepada 7,904 penerima dengan keutamaan kepada mereka yang berusia 60 ke atas dan tiada pendapatan tetap.
“Pemohon di bawah usia 60 tahun dipertimbangkan jika mereka menghidap penyakit kronik dan tidak mampu bekerja,” katanya.
Kesedaran pembayaran zakat
Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan lain yang disalurkan MAIK bantuan am yang diberikan secara sekali setahun (one-off) untuk tujuan sara diri, kecemasan dan lain-lain keperluan sejumlah RM24,599,556 telah dibelanjakan sepanjang tempoh ini.
Bantuan lain ialah rumah kediaman diberikan kepada asnaf fakir dan miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) membabitkan RM 14,319,894 dibelanjakan kepada 206 keluarga pada tempoh ini.
Bantuan lain yang disediakan MAIK ialah bantuan rumah kediaman, melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, bantuan awal persekolahan dan program pembangunan asnaf.
Beliau juga bersyukur kerana kutipan zakat meningkat sebanyak 15 peratus tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya sekali gus membuktikan kesedaran pembayaran zakat masyarakat di negeri ini.
Peningkatan berkenaan iaitu RM296,523,766 berbanding RM257,091,433 pada tarikh yang sama tahun sebelumnya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, jumlah terbesar membabitkan kutipan zakat pendapatan iaitu sebanyak RM183,342,813, zakat perniagaan berjumlah RM54,104,618, zakat wang simpanan (RM 24,379,010) dan zakat harta (RM 13,513,644).
“Peningkatan terbesar dicatatkan oleh zakat pendapatan dengan kenaikan 17 peratus iaitu berjumlah RM27,286,061 berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Kejayaan promosi
Beliau memberitahu, zakat lain yang menjadi keutamaan ialah zakat pertanian dan padi, zakat fi trah, zakat saham, zakat emas/perak, zakat qada, zakat ternakan dan zakat harta yang kumulatifnya berjumlah RM 19,183,680.
Jelas beliau, antara faktor kejayaan kutipan zakat ialah cabaran perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa yang menyebabkan kesungguhan pemain industri untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang positif pada kadar 5.1 peratus memberi kesan langsung kepada pemain industri dan berjaya mendorong peningkatan kutipan zakat tahun lalu,” katanya.
Tengku Mohamad Rizam memberitahu, kesedaran membayar zakat juga meningkatkan permintaan potongan gaji daripada kakitangan agensi dan jabatan kerajaan.
Sehingga kini kata beliau, seramai 30,865 pembayar zakat dicatatkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM86,274,434.76 atau 30 peratus daripada jumlah besar kutipan zakat.
Menurutnya, peningkatan itu juga membuktikan kejayaan promosi MAIK melalui pelbagai kaedah termasuk tawaran hadiah khas setiap bulan serta penerangan yang berkesan.
“Kita juga tidak menafi kan peranan amil dan ejen kutipan yang sentiasa serius serta dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab mereka berkaitan zakat.
“Terima kasih kepada pembayar zakat, pewakaf serta mereka yang menginfakkan harta menerusi dana awam baitulmal di atas kesetiaan dan kepercayaan penuh yang masih diberikan kepada MAIK,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
