Kusta 'makan' wajah, anggota pesakit

PUTRAJAYA - Penyakit kusta boleh berlaku dan merebak disebabkan oleh beberapa faktor termasuk bakteria Mycobacterium leprae yang kembali aktif.
Pakar Mikrobiologi Klinikal, Profesor Dr Nurul Azmawati Mohamed menjelaskan, bakteria berkenaan boleh kekal di dalam badan individu dalam keadaan tidak aktif sekiranya pernah dijangkiti penyakit berkenaan.
“Ia akan menjadi aktif semula jika imuniti individu terbabit menurun,” katanya.
Ujar beliau, individu yang dijangkiti tetapi tidak mendapatkan rawatan boleh menyebarkan bakteria berkenaan melalui titisan pernafasan.
“Individu dari kawasan endemik juga boleh membawa jangkitan ke kawasan baharu tanpa menyedari mereka dijangkiti,” jelas beliau.
Nurul Azmawati berkata, kusta masih dikategorikan sebagai penyakit endemik di Malaysia, dengan kes yang sentiasa wujud pada kadar rendah.
“Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 256 kes dilaporkan pada tahun 2023 dan 183 kes pada tahun 2022.
“Peningkatan kes selalunya bukan disebabkan oleh penyebaran penyakit secara meluas, tetapi lebih kepada pengesanan kes secara aktif di lokaliti endemik yang dilakukan KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penularan wabak kusta di Kampung Orang Asli Guntur dan Chergun di Kuala Pilang, Negeri Sembilan, yang meragut nyawa seorang remaja.
Nurul Azmawati yang juga Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia berkata, kematian akibat kusta jarang berlaku kecuali jika terdapat jangkitan sekunder atau komplikasi lain.
Kusta ialah jangkitan bakteria Mycobacterium leprae yang menyerang sel kulit dan saraf periferi menyebabkan perubahan progresif pada kulit serta kehilangan fungsi saraf.
Penyakit ini dibahagikan kepada dua jenis iaitu leprosi lepromatous iaitu lebih agresif dan lebih mudah berjangkit serta leprosi tuberculoid, yang kurang agresif.
Kusta boleh dikesan lebih awal melalui gejala tompokan kulit berwarna pucat atau kemerahan yang tidak gatal atau sakit, hilang deria rasa pada kulit terjejas, kebas atau lemah otot terutama di bahagian kaki dan tangan selain tiada rasa sakit akibat luka atau kecederaan kerana kerosakan saraf.
Dalam jangka masa panjang, Nurul Azmawati berkata, leprosi lepromatous boleh menyebabkan deformiti kekal termasuk hidung jadi mendatar akibat kerosakan tulang rawan hidung, jari membengkok atau hilang fungsi, kehilangan kening dan bulu mata yang mengubah wajah pesakit.
“Pencegahan kusta melibatkan beberapa langkah penting termasuk segera mendapatkan pemeriksaan jika mengalami gejala kusta.
"Masyarakat perlu mengurangkan stigma terhadap pesakit kusta dan mereka wajar mendapat sokongan komuniti untuk menjalani rawatan tanpa diskriminasi,” katanya.
@sinarharianonline Penyakit kusta boleh berlaku dan merebak disebabkan oleh beberapa faktor termasuk bakteria Mycobacterium leprae yang kembali aktif. Pakar Mikrobiologi Klinikal, Profesor Dr Nurul Azmawati Mohamed menjelaskan, bakteria berkenaan boleh kekal di dalam badan individu dalam keadaan tidak aktif sekiranya pernah dijangkiti penyakit berkenaan. #SinarHarian #SinarTerkini #penyakit#Kusta Medical - StudioMaxMusic
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

