Penubuhan Jawatankuasa Harmoni tidak bertentangan Perlembagaan – ABIM

Laporan Sinar Harian berhubung pelantikan 25 tokoh agama sebagai ahli Jawatankuasa Harmoni
Laporan Sinar Harian berhubung pelantikan 25 tokoh agama sebagai ahli Jawatankuasa Harmoni
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan seperti didakwa sesetengah pihak.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin pada masa sama turut menegaskan, penubuhan jawatankuasa berkenaan juga bukan bertujuan untuk menyamakan semua agama hingga boleh menggugat mana-mana pihak.

"Sebarang persepsi bahawa jawatankuasa ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas kerana ia tidak mengubah ketetapan yang telah termaktub.

"Bahkan jawatankuasa Harmoni membantu mengukuhkan kedudukannya, selaras dengan Perkara 3 yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan, sambil menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkannya secara aman dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, seramai 25 tokoh agama dilantik menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Mereka terdiri daripada 10 wakil Islam, Buddha (empat), Kristian (empat), Hindu (dua), Tao (dua) dan masing-masing satu wakil bagi Sikh, Bahai serta Unit Lain-lain Agama (UNIFOR), Sarawak.

Sementara itu, Ahmad Fahmi menerusi kenyataan sama berkata, keharmonian yang ingin diwujudkan meramgkumi penganut pelbagai agama dan bukannya antara agama-agama itu sendiri.

Justeru katanya, semua pihak diminta agar lebih terbuka dalam menerima kepelbagaian dan mencari titik persamaan yang boleh memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam negara.

"Ini kerana sebarang kata-kata serta tindakan untuk mencipta persepsi negatif tidak boleh dihapuskan natijahnya dengan permohonan maaf di kemudian hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!