25 tokoh agama dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Harmoni

Na'im (duduk, lima dari kanan) dan Aaron (duduk, enam dari kiri) bersama ahli Jawatankuasa Harmoni yang baru dilantik.
Na'im (duduk, lima dari kanan) dan Aaron (duduk, enam dari kiri) bersama ahli Jawatankuasa Harmoni yang baru dilantik.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni).

Mereka terdiri daripada 10 wakil Islam, Buddha (empat), Kristian (empat), Hindu (dua), Tao (dua) dan masing-masing satu wakil bagi Sikh, Bahai serta Unit Lain-lain Agama (UNIFOR), Sarawak.

Antara yang dilantik ialah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty; bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Seri Zaleha Kamarudin; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Turut dilantik, Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Chuan Yuan; tokoh Buddha, Sing Kan; Pengerusi Persekutuan Kristian Evangelikal Nasional (NECF), Dr Eu Hong Seng dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Philip Thomas.

Selain itu, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah; Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh Arjan Singh; Presiden Persekutuan Persatuan Tao Malaysia, Tan Hoe Chieow dan Pengarah UNIFOR, Datuk Georgina Apphia Ngau turut dilantik.

Harmoni dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang membincangkan mengenai usaha pengukuhan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama serta budaya di Malaysia.

"Mesyuarat pada hari ini membincangkan secara terperinci mengenai keputusan Jemaah Menteri berhubung garis panduan kunjungan penganut agama Islam ke rumah ibadat selain Islam dengan mendengar pandangan daripada semua wakil agama.

"Kesemua ahli mengambil maklum keputusan Jemaah Menteri yang menetapkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberi nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan untuk menjaga akidah dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam, namun nasihat tersebut adalah tidak bersifat dasar," katanya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua menteri menyatakan harapannya agar Jawatankuasa Harmoni menjadi platform yang berkesan dalam menguruskan isu-isu perpaduan dan memupuk persefahaman dan keharmonian antara ketua dan penganut agama bagi menyokong matlamat membangun Malaysia Madani.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan JK HARMONI untuk tujuan tertentu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam, susulan hantaran di media sosial berhubung keahlian jawatankuasa berkenaan.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, JK HARMONI bukanlah sebuah jawatankuasa baharu yang ditubuhkan sebaliknya sudah bermula sejak 14 Ogos 2020 selepas penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA) yang ditubuhkan bermula 2010 hingga 2019.

"Bilangan keanggotaan dan komposisi jawatankuasa ini adalah sama sejak Januari 2021 iaitu 10 wakil Islam dan 15 wakil bukan Islam.

"Fungsi jawatankuasa ini antaranya mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian dan berteraskan nilai-nilai murni keagamaan demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama dan melaksana secara bersama aktiviti-aktiviti kesedaran serta keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!