Rondaan polis turunkan indeks jenayah di Selangor

Hussein dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Khamis.
Hussein dalam sidang akhbar di IPK Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Rondaan motosikal, kereta peronda dan penyelarasan waktu rondaan yang cekap menjadi indikator penurunan indeks jenayah di Selangor pada tahun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, indeks jenayah konvensional merekodkan penurunan sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, faktor penurunan itu antaranya menerusi pelaksanaan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah yang telah dipertingkatkan polis sebelum ini.

"Ia termasuk menerusi rondaan motosikal, kereta peronda dan penyelarasan waktu rondaan yang mengikut trend jenayah di sesebuah kawasan.

"Jadi, pencegahan jenayah secara sistematik dan mengikut pola kes menjadi faktor menyumbang penurunan indeks jenayah terutama pecah rumah serta curi kenderaan di negeri ini," katanya pada sidang akhbar Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.

Majlis itu menyaksikan Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Selangor baharu menggantikan Datuk S Sasikala Devi yang bersara wajib selepas berkhidmat lebih 35 tahun.

Sebelum itu, kerajaan digesa segera menyiasat kesahihan data Indeks Jenayah Numbeo 2025 yang mendakwa Kuala Lumpur dan Klang di tempat ketiga dan keempat bandar paling berbahaya di Asia Tenggara.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng memaklumkan, ia bukan saja merunsingkan malah menjejaskan keselamatan ekonomi terutama sektor pelancongan sekiranya laporan itu berasas.

Kuala Lumpur dilaporkan menduduki tempat ketiga bandar paling berbahaya di Asia Tenggara, manakala bandar Klang pula menduduki tempat keempat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, kata Hussein, masyarakat perlu melihat kriteria apa diguna pakai untuk mentafsir keadaan jenayah berkenaan.

"Siapa yang mereka interview (temuramah) atau kayu ukur diguna (dalam data berkenaan).

"Saya tidak boleh komen lanjut dan polis mungkin boleh mengemukakan laporan khas berkaitan penurunan kes jenayah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!