Pekerja kebun parah disamun sekumpulan lelaki bersenjata

KOTA BELUD - Seorang pekerja kebun parah akibat disamun sekumpulan lelaki menggunakan senjata dalam kejadian di sebuah rumah kebun di Kampung Batu Gadung, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 24 tahun tersebut sedang menerima rawatan di Hospital Kota Belud sebelum dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 4 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, laporan diterima memaklumkan seorang lelaki cedera dan sedang dirawat di Unit Kecemasan.
"Hasil siasatan, lelaki tersebut dipercayai mangsa samun berkumpulan melibatkan suspek empat lelaki menggunakan motosikal dan memiliki senjata di sebuah rumah kebun.
"Mangsa dicederakan namun belum diketahui jenis senjata yang digunakan dan siasatan juga mendapati, wang tunai RM10,000 serta barang kemas dipercayai milik mangsa dilarikan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Mana-mana orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Hafizan Haron di talian 014-6318003 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!