Pakar dakwa temui sindrom baharu berkaitan vaksin Covid-19

Isu penarikan balik vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca daripada pasaran dunia menimbulkan kegusaran dalam kalangan penerimanya.
Isu penarikan balik vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca daripada pasaran dunia menimbulkan kegusaran dalam kalangan penerimanya.
A
A
A

NEW HAVEN, AMERIKA SYARIKAT - [DIKEMAS KINI] Pakar dari Universiti Yale didakwa menemui satu sindrom membimbangkan yang dikaitkan dengan vaksin mRNA Covid.

Keadaan yang sebelum ini tidak diketahui – dikenali sebagai ‘sindrom pasca vaksinasi’ – nampaknya menyebabkan masalah seperti kabut otak, pening, telinga berdesing, dan intoleransi terhadap senaman.

Beberapa penghidap juga menunjukkan perubahan biologi yang ketara, termasuk perbezaan dalam sel imun serta kehadiran protein koronavirus dalam darah mereka walaupun selepas beberapa tahun menerima suntikan vaksin.

Keadaan ini juga kelihatan mencetuskan semula virus dorman dalam tubuh yang dikenali sebagai Epstein-Barr, yang boleh menyebabkan simptom seperti selesema, pembengkakan nodus limfa, dan masalah saraf.

Hasil penuh kajian berskala kecil ini masih belum diterbitkan, dan pakar dari Yale menekankan bahawa hasilnya masih dalam peringkat kajian yang belum selesai.

Namun menurut pakar bebas, hasil penemuan dari institusi yang terkemuka tersebut menunjukkan bahawa lebih banyak penyelidikan mengenai sindrom pasca vaksinasi diperlukan.

Fasa seterusnya dalam penyelidikan berkenaan adalah untuk menentukan sejauh mana keadaan ini tersebar serta siapa yang berisiko tinggi mengalaminya.

Covid-19 bermula dari Wuhan, China.
Covid-19 bermula dari Wuhan, China.

Sejak vaksin Covid diperkenalkan pada tahun 2021, ribuan individu mendakwa bahawa mereka mengalami kesan sampingan akibat suntikan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Namun, sistem penjagaan kesihatan AS yang berpecah-belah menyukarkan usaha mengenal pasti kesan sampingan yang jarang berlaku.

Kajian berskala besar sebelum ini gagal memisahkan simptom yang muncul selepas vaksinasi Covid daripada penyakit lain yang mungkin berlaku secara semula jadi.

Pengarang kajian dan pakar imunologi dari Universiti Yale, Dr Akiko Iwasaki berkata, penyelidikan berkenaan masih dalam peringkat awal dan ia perlu disahkan.

"Namun, ia memberi harapan bahawa suatu hari nanti mungkin kita dapat mencari kaedah untuk mendiagnosis dan merawat sindrom pasca vaksinasi (PVS),"katanya.

Vaksin mRNA yang dihasilkan oleh Moderna dan Pfizer dianggarkan telah menyelamatkan puluhan juta nyawa di seluruh dunia daripada Covid, termasuk 3 juta di Amerika Syarikat.

Dalam kajian terbaru ini, pasukan Iwasaki mengumpul sampel darah daripada 42 individu yang mengalami sindrom pasca vaksinasi (PVS) dan 22 individu yang tidak mengalami keadaan tersebut, antara Disember 2022 hingga November 2023.

Apabila sistem imun pesakit dianalisis, mereka yang menghidap PVS didapati mempunyai perkadaran sel imun tertentu yang berbeza. Namun, makna sebenar perbezaan ini masih tidak jelas kerana penyelidik tidak dapat menghubungkannya secara langsung dengan simptom tertentu.

Pasukan itu juga mengkaji 134 individu yang mengalami Long Covid, kerana simptom PVS didapati bertindih dengan keadaan ini, serta 134 individu sihat yang telah menerima vaksin.

Hasil kajian menunjukkan bahawa kedua-dua individu yang menghidap Long Covid dan PVS mengalami pengaktifan semula virus Epstein-Barr.

Lebih daripada 90 peratus orang dewasa pernah dijangkiti Epstein-Barr dalam hidup mereka – ia merupakan jangkitan biasa yang merebak melalui cecair badan seperti air liur atau air mani.

Jangkitan ini boleh menyebabkan simptom seperti keletihan, demam, dan ruam. Selepas simptom hilang, virus ini kekal dorman dalam badan tetapi boleh diaktifkan semula apabila sistem imun menjadi lemah.

Selain itu, individu dengan PVS juga didapati mempunyai kadar protein spike Covid yang tinggi.

Malah, tahap protein spike dalam pesakit PVS lebih tinggi daripada mereka yang mengalami Long Covid, iaitu satu keadaan yang mempunyai simptom serupa dan dikaitkan dengan virus itu sendiri.

Kehadiran protein spike yang berterusan dalam badan dipercayai menjadi punca beberapa simptom Long Covid, kerana ia mengekalkan badan dalam keadaan keradangan yang berpanjangan. - AGENSI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!