'Isu Venezuela akan ditangani Indonesia'

JAKARTA – Indonesia dijangka memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa apabila dicalonkan sebagai Presiden Majlis Hak Asasi Manusia (HAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2026, termasuk dalam menangani krisis kemanusiaan di Venezuela.
Menteri Hak Asasi Manusia Indonesia, Natalius Pigai berkata, pelantikan itu merupakan pencapaian bersejarah apabila Indonesia buat pertama kali dalam tempoh 80 tahun kewujudannya, berpeluang menerajui sebuah badan multilateral dunia.
“Isu Venezuela akan ditangani oleh anak bangsa Indonesia,” katanya ketika ditemui di Kementerian HAM di sini, pada Selasa.
Menurut Pigai, pencalonan Indonesia sebagai Presiden Majlis HAM PBB turut didorong oleh penubuhan Kementerian HAM, yang secara jelas menunjukkan komitmen negara itu dalam memperjuangkan hak asasi manusia di peringkat global.
Sebelum ini, Kementerian Luar Indonesia memaklumkan bahawa Indonesia telah dipilih secara rasmi oleh negara-negara anggota kumpulan Asia Pasifik dalam Majlis HAM PBB untuk dicalonkan sebagai Presiden badan berkenaan bagi tempoh 2026.
Dalam kenyataan bertulis, kementerian itu menjelaskan bahawa pencalonan tersebut akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis HAM PBB yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari 2026.
“Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan negara-negara Asia Pasifik terhadap peranan serta kepimpinan Indonesia dalam memajukan agenda hak asasi manusia di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Sekiranya dilantik, Indonesia berikrar untuk memimpin perjalanan sidang dan proses dalaman Majlis HAM PBB secara objektif, inklusif dan seimbang, selaras dengan prinsip keadilan sejagat.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

