Greenland: AS pertimbang pelbagai opsyen termasuk ketenteraan - Rumah Putih

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang membincangkan "pelbagai opsyen” bagi memperoleh Greenland, termasuk menggunakan ketenteraan AS, menurut Rumah Putih pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Presiden Trump telah menyatakan dengan jelas bahawa pemerolehan Greenland merupakan keutamaan keselamatan negara Amerika Syarikat, dan ia penting untuk menghalang musuh-musuh kami di rantau Artik,” kata jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, sebagai menjawab pertanyaan Anadolu.
"Presiden dan pasukannya sedang membincangkan pelbagai pilihan untuk mencapai matlamat dasar luar yang penting ini, dan sudah tentu, penggunaan ketenteraan AS sentiasa merupakan satu opsyen di bawah kuasa Panglima Tertinggi,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat susulan cadangan berulang kali oleh Trump untuk memperoleh pulau berkenaan atas kepentingan strategik.
Sehari selepas operasi ketenteraan AS di Venezuela yang menyaksikan penangkapan Presiden Nicolas Maduro, Trump pada Ahad sekali lagi memperbaharui gesaannya untuk mengambil alih Greenland atas kepentingan "keselamatan negara”.
"Kami memerlukan Greenland dari sudut keselamatan negara dan Denmark tidak akan mampu melaksanakannya,” katanya ketika ditanya mengenai sebarang kemungkinan tindakan AS terhadap Greenland.
Greenland merupakan wilayah autonomi dalam Kerajaan Denmark dan berulang kali menolak cadangan yang menyarankan sebarang pemindahan kedaulatan kepada AS.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, telah menggesa Trump supaya "menghentikan ancaman” berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sedang membincangkan "pelbagai opsyen" bagi memperoleh Greenland termasuk menggunakan ketenteraan AS
- Presiden Trump menyatakan pemerolehan Greenland merupakan keutamaan keselamatan negara Amerika Syarikat untuk menghalang musuh-musuh di rantau Artik
- Penggunaan ketenteraan AS merupakan satu opsyen di bawah kuasa Panglima Tertinggi
- Cadangan memperoleh Greenland timbul atas kepentingan strategik
- Greenland merupakan wilayah autonomi dalam Kerajaan Denmark yang berulang kali menolak cadangan pemindahan kedaulatan kepada AS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
