Iran tegas tidak tunduk ancaman AS

KERMAN – Iran menegaskan negara itu tidak takut kepada sebarang ancaman dan tidak akan tunduk kepada dominasi Amerika Syarikat (AS), susulan ugutan terbaharu Presiden AS, Donald Trump, kata Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Timbalan Panglima Tertinggi IRGC, Brigedier Jeneral Ahmad Vahidi berkata, Iran berdiri atas semangat perjuangan para syuhada dan tidak gentar berdepan musuh.
“Kami adalah pelajar kepada aliran pemikiran para syuhada dan kami tidak takut kepada musuh,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan veteran Perang Iran-Iraq di bandar Kerman, pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat susulan ancaman Trump di media sosial yang mendakwa AS berada dalam keadaan 'bersedia sepenuhnya' untuk menyerang Iran.
Ugutan tersebut dikecam keras Teheran yang memberi amaran kepada Washington agar tidak melakukan sebarang tindakan berunsur provokasi.
Menurut Vahidi, semakin banyak negara kini sedar bahawa mereka perlu berdiri sebagai negara merdeka dan menolak penguasaan AS.
“AS kini berada di landasan kemerosotan. Alat yang suatu ketika dahulu digunakan untuk menguasai dunia sudah hilang keberkesanannya,” katanya.
Beliau menambah, Washington kini terpaksa mencapai kepentingannya melalui kekerasan, peperangan, keganasan dan rompakan, sekali gus mencerminkan kelemahan sebenar negara itu.
Mengulas tindakan AS menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, serta pembunuhan bekas komander Pasukan Quds IRGC, Leftenan Jeneral Qassem Soleimani, Vahidi menegaskan perbuatan sedemikian bukan tanda kekuatan, sebaliknya melambangkan kehinaan dan keruntuhan moral.
Soleimani terbunuh dalam serangan dron AS di Baghdad pada Januari 2020, manakala Maduro dan isterinya dilaporkan dibawa keluar dari Venezuela melalui operasi ketenteraan AS sebelum dihantar ke New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah.
Vahidi turut menyifatkan Soleimani bukan sekadar seorang individu, sebaliknya satu aliran pemikiran dan gerakan berterusan, sebagaimana digambarkan oleh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei.
Menurutnya, kumpulan Daesh yang diwujudkan oleh musuh Iran akhirnya berjaya ditewaskan hasil kepimpinan, kebijaksanaan dan kebergantungan Soleimani kepada Tuhan.
“Musuh menyangka pembunuhan Soleimani akan melemahkan Iran, namun hakikatnya bangsa Iran semakin kuat dan pengaruh beliau kini lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau menegaskan ketabahan Iran akan memastikan masa depan berpihak kepada Islam dan bangsa Iran.- Agensi
Ringkasan AI
- Iran menegaskan tidak takut atau akan tunduk kepada dominasi Amerika Syarikat susulan ugutan terbaharu Presiden AS, Donald Trump
- Timbalan Panglima Tertinggi IRGC, Brigedier Jeneral Ahmad Vahidi, menyatakan Iran berdiri atas semangat perjuangan para syuhada dan tidak gentar berdepan musuh
- Ugutan Trump di media sosial yang mendakwa AS bersedia sepenuhnya untuk menyerang Iran mendapat kecaman keras dari Teheran
- Vahidi menyatakan bahawa dunia kini menyedari pentingnya menjadi negara merdeka dan menolak penguasaan AS
- Mengulas tindakan AS menculik Presiden Venezuela dan pembunuhan bekas komander Pasukan Quds IRGC, Vahidi menyifatkan perbuatan tersebut sebagai lambang kehinaan dan keruntuhan moral
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

