200,880 warga emas Kelantan digalak ambil suntikan vaksin influenza

Warga emas digalak ambil vaksin influenza menggalakkan mereka untuk mengambil vaksin ini sebagai langkah perlindungan. Foto dijana AI (Gambar kecil: Dr Zaini)
Warga emas digalak ambil vaksin influenza menggalakkan mereka untuk mengambil vaksin ini sebagai langkah perlindungan. Foto dijana AI (Gambar kecil: Dr Zaini)
A
A
A

KOTA BHARU – Seramai 200,880 warga emas di Kelantan digalakkan mengambil suntikan vaksin influenza secara sukarela di 57 klinik di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sejumlah 3,600 dos vaksin diperuntukkan untuk fasa pertama bagi melindungi golongan berisiko tinggi ini daripada jangkitan influenza.

Menurut beliau, vaksin itu juga bertujuan untuk mengurangkan risiko komplikasi influenza dalam kalangan warga emas terutama mereka yang mempunyai penyakit komorbid seperti kencing manis, darah tinggi, dan penyakit pernafasan kronik.

“Influenza bukan sekadar demam biasa, penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang paru-paru dan kegagalan organ khususnya dalam kalangan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan.

“Oleh itu, kami menggalakkan mereka untuk mengambil vaksin ini sebagai langkah perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, seramai 842 warga emas di Kelantan menerima suntikan vaksin influenza pada hari pertama pelaksanaan Program Imunisasi Influenza Warga Emas yang bermula pada Selasa.

Vaksin influenza diberikan secara percuma kepada warga emas. Foto dijana AI
Vaksin influenza diberikan secara percuma kepada warga emas. Foto dijana AI

Tanah Merah mencatatkan jumlah suntikan tertinggi sebanyak 264 suntikan diikuti Pasir Mas (164 suntikan) seterusnya Pasir Puteh (74 suntikan).

Artikel Berkaitan:

Dr Zaini berkata, warga emas boleh mendapatkan vaksin ini secara janji temu melalui MySejahtera, janji temu di klinik kesihatan atau secara terus di fasiliti kesihatan terpilih bergantung kepada ketersediaan stok.

“Vaksin ini diberikan secara percuma dan terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan serta komplikasi yang boleh membawa maut.

“Kami berharap lebih ramai warga emas akan mengambil peluang ini untuk melindungi diri mereka,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan penerima vaksin supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami kesan sampingan selepas suntikan.

“Sekiranya terdapat sebarang gejala seperti demam berpanjangan, bengkak atau reaksi alergi selepas suntikan, segera dapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan.

“Keselamatan penerima vaksin sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Dr Zaini menegaskan bahawa program imunisasi ini akan diteruskan dalam beberapa fasa bergantung kepada keperluan dan ketersediaan vaksin.

“Jangan tunggu sehingga jatuh sakit. Lindungi diri anda hari ini untuk kehidupan yang lebih sihat dan aktif,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!