Tak berbaloi layan konsert jika ambil dadah

Konsert sering menjadi tarikan utama golongan muda untuk berhibur bersama rakan-rakan sehingga ada yang sanggup mengambil bahan terlarang demi mencapai keseronokan. Gambar hiasan
Konsert sering menjadi tarikan utama golongan muda untuk berhibur bersama rakan-rakan sehingga ada yang sanggup mengambil bahan terlarang demi mencapai keseronokan. Gambar hiasan
A
A
A

AKTIVITI menghadiri konsert sering menjadi tarikan utama golongan muda untuk berhibur bersama rakan-rakan.

Bagaimanapun, masih ada segelintir individu yang sanggup mengambil bahan terlarang demi keseronokan sehingga mengundang risiko yang membahayakan kesihatan.

Kejadian di konsert Pinkfish Countdown 2024 baru-baru ini menjadi bukti bahawa penggunaan dadah bukan sahaja merosakkan masa depan seseorang, malah boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, laporan patologi mengesahkan bahawa punca kematian tiga pengunjung konsert tersebut adalah akibat 'stimulant drugs intoxication'.

Kejadian ini menimbulkan kebimbangan tentang gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung konsert, terutama acara hiburan besar yang sering dikaitkan dengan penggunaan bahan terlarang oleh golongan muda.

Menurut laporan Unit Alkohol dan Substans, Bahagian Kawalan Penyakit (NCD), penyalahgunaan dadah Amfetamin atau Amphetamine-type Stimulants (ATS) telah menjadi trend antarabangsa dalam kalangan remaja terutama di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia sejak tahun 1980-an.

ATS menjadi dadah paling banyak disalahgunakan dan turut menular dalam kalangan pekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.

Di Malaysia, dadah sintetik baharu seperti Syabu, Yaba, Ice dan Ekstasi disalahgunakan secara meluas terutamanya di pusat hiburan untuk keseronokan.

Penyalahgunaan dadah ATS dalam dos tinggi boleh mengakibatkan sawan, muntah, dan pendarahan otak manakala kesan jangka panjangnya termasuk risiko kematian akibat aritmia atau strok.

Artikel Berkaitan:

Isu penyalahgunaan dadah di konsert bukanlah sesuatu yang baharu dan banyak kejadian sebelum ini telah membuktikan bahawa pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk berseronok sering kali menjadi punca tragedi.

Sehubungan itu, pengunjung konsert perlu lebih berhati-hati dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan diri.

Mereka tidak seharusnya menerima sebarang makanan atau minuman daripada individu tidak dikenali kerana dibimbangi ia telah dicampur dengan bahan terlarang.

Seterusnya, orang ramai disarankan untuk hadir ke konsert bersama kenalan atau rakan boleh dipercayai bagi memastikan keselamatan antara satu sama lain sentiasa terjaga.

Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan simptom seperti berpeluh berlebihan, sukar bernafas atau pengsan, mereka perlu segera mendapatkan bantuan perubatan.

Selain menjaga diri sendiri, pengunjung juga perlu mengambil tahu tentang aspek keselamatan persekitaran konsert dihadiri.

Mengetahui lokasi pintu keluar kecemasan dan tempat pasukan perubatan adalah langkah berjaga-jaga yang boleh menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Sekiranya pengunjung melihat sebarang aktiviti mencurigakan seperti pengedaran bahan terlarang, mereka perlu melaporkan segera kepada pihak berkuasa untuk mencegah kejadian tidak diingini.

Pihak penganjur konsert juga memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan pengunjung.

Prosedur ketat seperti pemeriksaan menyeluruh terhadap barang dibawa masuk dan kawalan keselamatan rapi boleh membantu membanteras kegiatan pengedaran dadah di acara hiburan berskala besar.

Dalam pada itu, penambahan anggota perubatan dan sukarelawan di lokasi konsert mampu memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan.

Justeru, peristiwa berdarah di konsert Pinkfish Countdown 2024 sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak khususnya golongan muda agar tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah yang akhirnya membawa padah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!