Singapura beri amaran produk kurus dari Malaysia ada bahan terlarang

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan satu produk pelangsing badan dari Malaysia selepas disyaki mengandungi sennosides iaitu ubat merawat sembelit.
Menurut SFA, penggunaan sennosides berpanjangan boleh mengakibatkan sakit perut, kekejangan, cirit-birit dan paras kalium rendah yang berkemungkinan menyebabkan kelemahan otot atau kekejangan.
“SFA turut mengesan sibutramine dalam produk itu yang dijual di platform e-dagang tempatan dan dipasarkan sebagai produk penurunan berat badan.
“Namun produk berkenaan telah diharamkan di Singapura kerana dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan strok.
“Walaupun negara asal bagi produk itu tidak dinyatakan secara jelas, tetapi gambar dikeluarkan SFA jelas menunjukkan logo pensijilan MeSTI pada bungkusan dan ia merupakan pensijilan wajib bagi syarikat pengeluaran makanan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah SFA, pihaknya juga bekerjasama dengan platform e-dagang untuk mengeluarkan produk tersebut dari senarai jualan dan memberi amaran kepada penjual agar menghentikan penjualannya segera.
Katanya, penjual dan pembekal produk makanan tidak selamat yang mengandungi bahan terlarang atau membahayakan boleh dikenakan tindakan tegas.
“Penjualan makanan tidak selamat adalah dilarang di bawah Seksyen 15 Akta Jualan Makanan Singapura.
“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga SGD5,000 (RM17,400) bagi kesalahan pertama.
“Bagi kesalahan berulang, pesalah boleh dikenakan denda sehingga SGD10,000 (RM34,900), hukuman penjara tidak melebihi tiga bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!