Pemandu lori bawa 2,790kg daun ketum ditahan

JELI - Polis menahan seorang pemandu lori bersama 2,790 kilogram (kg) daun ketum di tepi Jalan Batu 13 Jalan Raya Timur Barat berdekatan Kampung Batu Melintang di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jeli, Suerintenden Saari Yaacob berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 6.15 petang oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Unit Kereta Peronda (MPV) ketika melakukan sekatan jalan raya.
"Anggota kami terlihat lori terbabit dalam keadaan mencurigakan lalu segera bertindak mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan dan meminta supaya membuka tempat meletak barang di dalam lori berkenaan.
"Hasil pemeriksaaan lanjut menemui 279 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi 2,790 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM111,600," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Saari berkata, hasil siasatan mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari kawasan negeri di utara untuk memasuki pasaran di jajahan Machang dan Pasir Puteh dengan harga RM40 sekilogram.
"Polis mendapati suspek menyewa lori tersebut dengan upah RM800 bagi satu perjalanan untuk membawa masuk bekalan daun ketum ke Kelantan dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kita turut merampas lori terbabit dengan anggaran nilai RM130,000 dan suspek direman empat hari hingga 24 Februari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!