Polis kesan pemandu lori bantu siasatan kemalangan maut di Muar

JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan seorang pemandu lori bagi membantu siasatan kejadian kemalangan di Jalan Muar-Yong Peng berdekatan Batu 6, Bakri yang mengorbankan seorang pejalan kaki warga Bangladesh pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam insiden 6.51 pagi itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang sedang melintas jalan dipercayai telah dilanggar sebuah lori dari arah bandar Muar ke Yong Peng.
"Akibat kejadian itu, pejalan kaki itu telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya giat mengesan pemandu lori berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
