Aiman Ridhwan, Norhazira Nabila johan qari, qariah tilawah al-Quran peringkat Perak

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Penutup serta Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perak 1446H/2025M di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada malam Rabu.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perak 1446H/2025M yang berlangsung dua hari bermula Selasa itu disertai seramai 24 orang bagi kategori hafazan manakala lapan orang peserta tilawah melibatkan empat lelaki dan empat wanita.
Qari Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dinobat johan tahun ini, manakala Qariah Norhazira Nabila Mohamad Kamel, dinobat johan dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000 dan plak.

Naib johan qari sekali lagi dimenangi Mohd Sahran Termizi dan Amir Naufal Rifqi Mohd Rashid di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Puteri Kalimatul Azzua Hamid dan Nur Syahira Saiful Adli di tempat ketiga.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta plak.
Bagi hafazan pula, Muhammad Adib Ahmad Rozaini sekali lagi mengulangi kejayaan tahun lalu apabila muncul johan qari bagi kategori 1 hingga 30 juzuk, manakala qariah hafazan pula dimenangi Siti Sarah Muhammad Hanif.
Kedua-dua mereka masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000 berserta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000 dan plak.
Pemenang bakal mewakili Perak ke Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 27 April hingga 2 Mei 2025 yang akan berlangsung di Perlis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


