Tambah baik sistem bancian data kemiskinan elak rakyat tercicir bantuan

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Sistem bancian data kemiskinan yang digunakan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) perlu ditambah baik supaya tiada rakyat di negeri ini yang betul-betul memerlukan tercicir daripada menerima bantuan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin bahawa jumlah rakyat Sabah yang layak menerima bantuan jauh lebih ramai berbanding hasil daripada data bancian tersebut.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Sekretariat SMJ atas inisiatif melaksanakan bancian data kemiskinan yang menggunakan indikator tambahan khusus bagi Sabah.

"Langkah ini amat penting untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan lebih tepat dan berkesan.

"Namun, dalam situasi semasa di mana rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi pada tahun 2025, sistem bancian ini perlu terus diperhalusi dan ditambah baik kerana saya yakin jumlah rakyat Sabah yang layak menerima bantuan jauh lebih ramai berbanding data semasa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan supaya rakyat terus menerima manfaat bantuan yang diberikan kerajaan.

"Sistem bancian tidak boleh hanya tertumpu kepada mereka yang telah berdaftar dalam e-Kasih semata-mata, tetapi juga perlu merangkumi golongan hampir miskin dan mereka yang berada dalam jurang pendapatan yang menyebabkan mereka tersepit antara kategori kelayakan bantuan.

"Bantuan tidak boleh terlalu terikat kepada kriteria yang terlalu ketat sehingga menafikan hak rakyat yang benar-benar memerlukan," katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar menyeru pihak berkuasa agar menambah baik kaedah bancian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya dengan memperluas skop data, termasuk mengenal pasti isi rumah berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman yang sering terlepas pandang dalam sistem bantuan sedia ada.

"Selain itu, memastikan sistem yang lebih inklusif, agar mereka yang terkesan akibat kenaikan harga barang dan tekanan ekonomi turut dipertimbangkan dalam senarai penerima bantuan.

"Tingkatkan juga kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan supaya bantuan dapat disalurkan dengan lebih menyeluruh tanpa birokrasi yang melambatkan proses," katanya.

Ujarnya lagi, matlamat utama adalah untuk memastikan tiada rakyat Sabah yang tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya menjadi hak mereka.

"Dengan penambahbaikan ini, saya percaya lebih ramai rakyat yang benar-benar memerlukan dapat dibantu dan nasib mereka akan lebih terbela," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!