Umum segera penurunan harga beras import - Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin (tengah) bersama sebahagian penerima sumbangan sempena Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang pada Rabu.
Syed Abu Hussin (tengah) bersama sebahagian penerima sumbangan sempena Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) diminta mengumumkan segera penurunan harga beras putih import (BPI) menjelang bulan Ramadan.

Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, harga BPI boleh diturunkan lebih rendah daripada beras putih tempatan (BPT) yang kekal pada harga RM2.60 sekilogram.

Menurutnya, penurunan itu dilihat berasas memandangkan harga beras dunia ketika ini telah mengalami penurunan yang ketara.

Syed Abu Hussin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang pada Rabu.
Syed Abu Hussin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang pada Rabu.

"Dalam lawatan saya ke Pakistan bersama dengan Perdana Menteri, beras putih import dah berharga RM2,000 satu tan atau RM2 sekilogram. Beras Vietnam lagi murah.

"Jadi penurunan (harga BPI) itu dah tinggi, maka sepatutnya Bernas menyokong usaha kerajaan dengan menetapkan harga beras seperti import RM26 bagi 10 kilogram," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini pada Rabu.

Syed Abu Hussin berkata, penetapan harga BPI perlu dilakukan dengan tidak boleh dijual melebihi RM2.60 sekilogram bagi memastikan BPT ada di dalam pasaran.

Justeru katanya, jika ia tidak dilakukan, pengumuman kerajaan terhadap harga BPT sia-sia dan kehilangan BPT dalam pasaran akan terus berlaku.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Bernas yang bertanggungjawab mengimport BPI juga digesa memainkan peranan untuk menstabilkan harga beras di dalam pasaran tempatan.

Katanya, tanggungjawab untuk menstabilkan harga beras bukan lagi di bawah kerajaan tetapi pemilik konsesi beras berkenaan.

"Jadi kalau urusan Bernas, harga import tinggi atau rendah, dia boleh berurusan dengan kerajaan, tapi rakyat tak dikacau, diganggu.

"Kalau pasaran import naik, maka Bernas boleh mengadu kepada kerajaan. Jika harga beras import turun, dia kena turunlah," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.

Syed Abu Hussin juga meminta kerajaan bertegas untuk tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak memanipulasi harga beras.

Katanya, sehubungan itu pelaksanaan satu gred satu harga boleh dilakukan bagi memastikan tidak berlaku manipulasi harga beras oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyokong pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522) bagi mengekang sebarang manipulasi padi oleh pihak tertentu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!