Mara sasar kurangkan pinjaman tidak berbayar 30 peratus

Asyraf Wajdi (dua dari kiri) menyerahkan naskah al-Quran kepada salah seorang wakil pelajar selepas melakukan tinjauan di MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam sempena sesi pendaftaran pelajar sesi 2025 pada Rabu.
Asyraf Wajdi (dua dari kiri) menyerahkan naskah al-Quran kepada salah seorang wakil pelajar selepas melakukan tinjauan di MRSM Sungai Besar, Sabak Bernam sempena sesi pendaftaran pelajar sesi 2025 pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk mengurangkan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang ditanggung agensi itu kepada 30 peratus pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiga aspek penting iaitu penilaian, pemantauan dan penguatkuasaan diambil kira bagi memastikan jumlah hutang dikurangkan.

"Kita tidak boleh lagi berkompromi dalam menjelaskan hutang terhadap agensi yang berperanan membangunkan sosio-ekonomi masyarakat bumiputera ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar di sini sempena sesi pendaftaran pelajar sesi 2025 pada Rabu.

Asyraf Wajdi memberitahu, pihaknya mempunyai pelan yang jelas pada tahun ini dan memberikan amanah kepada Ahli Majlis Mara yang antaranya dianggotai bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim untuk mengepalai jawatankuasa pelaburan dan melihat disiplin serta tatakelola kewangan agensi berkenaan.

"Tidak mustahil disiplin Mara itu akan setaraf dengan institusi kewangan lain. Ini bukan untuk menyulitkan sesiapa tetapi janganlah atas nama nak mengangkat martabat bangsa kita culas malah melakukan penyelewengan serta penyimpangan dari segi agenda itu sendiri," katanya.

Menurutnya, ketika ini jumlah NPL yang ditanggung Mara mencecah 49.6 peratus atau bernilai RM893 juta.

Peningkatan jumlah tersebut menyebabkan agensi itu bakal mengambil tindakan tegas termasuk saman terhadap mereka yang gagal melunaskan pinjaman, tambahnya.

"Mara tegas dalam isu hutang dan kita mengingatkan tiada layanan istimewa walaupun daripada kabel (pihak atasan) mana sekali pun kerana ini soal wang rakyat.

"Kita kena pastikan perkara ini dan sebab itulah saya telah memberikan isyarat beberapa kali dan tiada kompromi mereka yang culas dari segi pembayaran," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!