[VIDEO] 102 tan dadah, racun bernilai RM1.67 bilion dirampas sejak Mac 2024
SIK - Sebanyak 102 tan dadah dan racun bernilai RM1.67 bilion dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sejak 4 Mac 2024 hingga 16 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, daripada jumlah itu, 39,397 kilogram (kg) membabitkan rampasan methamphetamine, ganja (3,203kg) serta pil dan serbuk ekstasi (2,513kg).
Menurutnya, sebanyak 53,879kg membabitkan rampasan ketum, ketamin (946kg), yaba (786kg), erimin 5 (758kg), heroin (596kg), kokain (89kg) dan lain-lain (301kg).

"Jumlah keseluruhan tangkapan membabitkan 248,885 orang yang mana 149,910 positif urin dan bakinya dikesan membekal dan memiliki bahan berkenaan. Daripada jumlah itu, kita berjaya menumpaskan sebanyak 219 sindiket melibatkan 675 tangkapan.
“Tangkapan melibatkan penjawat awam pula seramai 719 orang yang mana 365 daripadanya didapati positif urin, kesalahan memiliki (287), membekal (61) dan tangkapan membabitkan langkah-langkah pencegahan khas (6),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, jelasnya, PDRM turut membongkar 12 makmal dadah haram membabitkan 47 tangkapan termasuk empat ahli kimia.

Sementara itu katanya, PDRM akan terus membantu agensi berkaitan mengekang penyeludupan dadah yang dikesan dibawa masuk secara transit melalui perairan negara.
Ini kerana katanya, negara kita masih menjadi lokasi transit dadah menggunakan kontena disebabkan permintaan yang tinggi.

"Sebagai contoh 1kg dadah jenis syabu bernilai antara RM33,000 hingga RM35,000 di negara kita tapi ia boleh mencecah RM450,000 di negara lain.
"Dengan jumlah ini tidak mustahil negara kita akan terus menjadi lokasi transit bahan ini. Namun kami tidak akan berhenti. Tiada hari tanpa tangkapan dan kejayaan yang direkodkan ini adalah hasil kerjasama semua pihak," katanya.
Sementara itu beliau berkata, IPD Sik ditubuhkan pada 1994 yang mana sebelum ini ia berada bawah pentadbiran IPD Gurun.
"Pada 2000 pembinaan bangunan baharu IPD Sik telah bermula di dalam kawasan seluas 7.42 hektar.
"Pembinaannya mengambil masa lebih kurang tiga tahun dan ia mula beroperasi pada 2005," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

