Warga asing antara ditahan seleweng diesel bernilai hampir RM150,000

KUALA KRAI – Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan selepas disyaki menyeleweng lebih 15,000 liter diesel dipercayai digunakan untuk aktiviti perlombongan bijih besi secara haram di Kampung Pasir Era, Kuala Nal, di sini, Isnin lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Pengkalan Kubur membongkar kegiatan berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.
Menurut Azman, pihaknya mengesan sebuah lori tangki jenis Hino membawa diesel memasuki tapak perlombongan tidak berlesen.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, enjin lori masih dihidupkan dan satu saluran paip getah disambungkan ke dalam sebuah skid tank.
“Seorang lelaki pula dikesan berada di atas skid tank sambil memegang paip besi manakala pemandu lori berada dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Azman, empat individu ditahan terdiri seorang pemborong diesel berlesen berusia 59 tahun dan anaknya berusia 34 tahun selain seorang warga Indonesia yang juga pekerja lombong berusia 42 tahun serta pemandu lori dari Sabah berusia 33 tahun.
Katanya, anggota penguat kuasa turut menyita beberapa barang bukti termasuk lori tangki, paip getah dan dokumen berkaitan transaksi jual beli bahan bakar itu.
“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai hampir RM150,000 melibatkan diesel yang juga barang kawalan tidak boleh dijual sewenang-wenangnya tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Jika diseleweng, kesannya bukan sahaja menyebabkan ketirisan subsidi tetapi memberi kelebihan kepada industri haram tidak berdaftar,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan menyimpan barang kawalan tanpa lesen sah serta membekalkan kepada pihak tidak berlesen.

Menurutnya, KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan operasi bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan bakar bersubsidi yang sering menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami menyeru masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyelewengan bahan kawalan seperti diesel, petrol atau gas petroleum cecair.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan secara haram,” katanya.
Serbuan juga membuktikan ketegasan pihak berkuasa dalam menangani isu ketirisan bahan bakar bersubsidi yang boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

