Pemilik kedai cuci kereta, buruh didakwa simpan diesel haram

SUNGAI PETANI - Seorang pemilik kedai cuci kereta dan buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas kesalahan menyimpan 29,900 liter diesel iaitu barang kawalan berjadual tanpa permit sah pada April tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Vincent Rubin, 41, dan Mohd Suhaimy Abd Talib, 40, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menyimpan sebanyak 27,000 liter diesel dalam sebuah lori tangki, 2,100 liter disimpan dalam dua tong IBC dan satu tong drum di sebuah lori lain dan sebanyak 800 liter lagi disimpan dalam satu tong IBC dalam sebuah lori lagi.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah lokasi di Bedong pada 16 April 2024 pada jam lebih kurang 10.30 pagi.
Disebabkan itu, tertuduh telah menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan - Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.
Tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Untuk kesalahan kedua atau seterusnya, didenda tidak melebihi RM2 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhammad Nizam Amer manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S Sagthiyaraj dan Rafizi Nordin.
Muhammad Nizam menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh bagaimanapun Azman membebankan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 10 Mac 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

