Ramai murid bangsa Melayu, Siam daftar SJKC Kong Aik

Yong Siang beramah mesra dengan murid Tahun Satu SKJC Kong Aik pada hari pertama sesi persekolahan di Perlis pada Isnin.
Yong Siang beramah mesra dengan murid Tahun Satu SKJC Kong Aik pada hari pertama sesi persekolahan di Perlis pada Isnin.
A
A
A

ARAU - Kelas prasekolah yang menawarkan pembelajaran bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Aik, Mata Ayer di sini menjadi pilihan ibu bapa khususnya berbangsa Melayu untuk mendaftarkan anak-anak mereka masuk ke Tahun Satu pada sesi pembukaan persekolahan 2025-2026.

Bagaimanapun, Guru Besar SJKC Kong Aik, Leong Yong Siang berkata, kemasukan murid berbangsa Cina pula semakin menurun setiap tahun di sekolah tersebut disebabkan faktor lokaliti dan populasi.

Menurutnya, hanya lima murid berbangsa Cina mendaftar Tahun Satu pada 2023 sebelum menurun kepada tiga murid sahaja pada tahun lepas dan tiada murid mendaftar pada tahun ini.

“Lokaliti sekolah yang berada di kawasan penempatan majoriti Melayu menyebabkan lebih ramai murid Melayu dan Siam mendaftar di sekolah tersebut.

“Populasi murid berbangsa Cina di sekitar kawasan sekolah ini semakin berkurangan dari tahun ke tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiada murid Tahun Satu berbangsa Cina yang mendaftarkan diri di SJKC Kong Aik di Mata Ayer di sini pada hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Perlis.

Sebaliknya, sesi kemasukan SJKC Kong Aik tahun ini menyaksikan kemasukan 23 murid tahun satu berbangsa Melayu dan Siam.

Jelas beliau, sekolah terbabit sebaliknya menerima banyak murid dari kawasan lain seperti Kubang Tiga, Jejawi, Santan, Padang Jelutong dan Guar Nangka.

Artikel Berkaitan:

Yong Siang berpandangan, perubahan demografi di kawasan sekitar menyebabkan peningkatan jumlah pelajar bukan Cina terutamanya pelajar Melayu.

Selain itu, tambah beliau, keunikan utama yang menarik minat ibu bapa khususnya berbangsa Melayu untuk menghantar anak ke SJKC Kong Aik adalah peluang untuk mempelajari bahasa Mandarin sejak peringkat awal persekolahan.

Beliau berkata, sesetengah murid di sekolah ini diajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Mandarin sejak dari prasekolah, menjadikan mereka fasih dalam bahasa tersebut sebelum tamat darjah enam.

“Ia memang mengambil masa, tetapi akhirnya semua murid dapat berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Mandarin.

“Mereka juga mampu baca surat khabar guna perkataan-perkataan asas,” katanya.

Yong Siang berkata, terdapat 17 tenaga pengajar di sekolah terbabit termasuk tiga ustazah dan seorang ustaz yang mengajar ilmu agama kepada murid Islam.

Tambah beliau, semua mata pelajaran seperti Matematik dan Sains diajar dalam bahasa Mandarin kecuali subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!