Pak Cu Tok Dalang berbangsa Cina, 50 tahun setia dengan wayang kulit

PASIR MAS - Tok Dalang wayang kulit berbangsa Cina, Eyo Hock Seng masih setia dengan patung wayang kulitnya walaupun sudah lebih lima dekad menceburi bidang itu.
Warga emas berusia 70 tahun itu juga aktif memenuhi jemputan persembahan di seluruh negara termasuk Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Hock Seng yang lebih mesra dengan panggilan Pak Cu berkata, selain minat dia turut berguru dengan lebih 30 tok dalang di seluruh Kelantan bagi mengasah bakat semula jadinya.
"Tok dalang perlu mahir mengubah nada suara kerana memegang banyak watak ketika melakukan persembahan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pasir Parit Chetok pada Jumaat.

Menurut Pak Cu, zaman moden turut membawa perubahan kepada persembahan wayang kulit terutama dalam konteks pemakaian dan patungnya.
"Beberapa tahun lalu, kita perlu melakukan acara tertentu untuk 'buka' dan 'tutup' panggung dilengkapi peralatan kenduri termasuk ayam panggang," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, kini persiapan untuk memulakan persembahan juga lebih ringkas dengan penggunaan peralatan utama iaitu muzik seperti serunai dan patung.
Selain itu katanya, bermula tahun 1980-an patung wayang kulit juga sudah diwarnakan supaya dapat menarik minat penonton kerana kelihatan lebih cantik.
Bapa tujuh anak itu mengakui tidak pernah jemu menceburi bidang itu kerana penceritaan yang dibawa sentiasa berubah mengikut kehendak masyarakat.
Katanya lagi, walaupun nama watak utama dalam wayang kulit iaitu Sri Rama, Laksamana, Hanuman dan Sita Dewi tidak boleh diubah namun kisah yang dibawa boleh berbeza mengikut situasi majlis.
"Sebagai tok dalang saya perlu membawa cerita sesuai dengan tempat dan penontonnya," katanya.
Kongsi Pak Cu lagi, masyarakat luar Kelantan sangat meminati persembahan wayang kulit dan kerana itu perlu dijaga supaya tidak pupus ditelan zaman.
Justeru, Pak Cu gembira kerana cucunya, Adam Yeo, 13, mewarisi bakat sebagai tok dalang dan dia tidak keberatan berkongsi ilmu selama 50 tahun dalam bidang itu.
"Saya pun sudah tidak sihat dan mungkin bersara dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi. Adam pun sudah bersedia mewarisi kebolehan saya dalam wayang kulit," katanya.
Jelasnya, sejak kecil Adam memang selalu bermain patung wayang kulitnya dan keluarga memang memberi sokongan untuk dia aktif sebagai tok dalang.

Pak Cu memberitahu turut mengasah bakat Adam melukis watak dalam wayang kulit kerana dia sudah tidak lagi mampu berbuat demikian sejak beberapa tahun lalu
"Melukis patung wayang kulit juga ada pantang larang tertentu yang perlu dipatuhi termasuk perlu bermula dari kepala.
"Saya harap wayang kulit terus menjadi warisan rakyat Kelantan kerana dapat menarik pelancong yang mungkin mengenali Kelantan melalui persembahan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!