Pekerja informal bertambah, pengangguran belia masih tinggi

SHAH ALAM - Pengangguran dalam kalangan belia kekal tinggi pada kadar 10.3 peratus, Disember tahun lalu.
Meski pun kadar pengangguran belia mencatatkan angka tersebut, Maybank Investment Bank (Maybank IB) melaporkan, kadar pengangguran keseluruhan di Malaysia masih berada pada tahap terendah sejak 2015.
Dalam masa sama, jumlah pekerja sektor tidak formal merangkumi peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan, pekerja gig dan pekebun kecil kekal mencatatkan peningkatan ketara iaitu 3.12 juta pada Disember 2024 berbanding 2.39 juta pada Januari 2021.
Bank pelaburan itu turut memaklumkan, pekerjaan dalam sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan positif terutama subsektor borong dan runcit, seni dan hiburan serta penginapan dan makanan.
Selain itu sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian turut menunjukkan peningkatan, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mengalami penyusutan.
Bagaimanapun, pemberhentian pekerja meningkat ketara dengan kenaikan 8.6 peratus secara tahunan dan 38 peratus secara bulanan kepada 6,275 pekerja pada awal ini.
Sepanjang 2024, jumlah pekerja yang diberhentikan meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada 57,794 orang, berbanding 49,982 pada 2023.
Maybank IB turut mengekalkan unjuran kadar pengangguran keseluruhan pada 3.2 peratus bagi 2025 dengan penggunaan swasta sebenar meningkat kepada 5.8 peratus berbanding 5.2 peratus pada 2024.
Dengan kadar pengangguran belia yang masih tinggi dan peningkatan ketara dalam sektor pekerjaan informal, cabaran dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kualiti pekerjaan bagi golongan muda serta pekerja berpendapatan rendah masih berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
