PDRM nafi kawasan ibu negara tidak selamat

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan sekeras-kerasnya penyebaran maklumat kononnya keadaan di Kuala Lumpur tidak selamat susulan senario politik semasa termasuk peletakan jawatan Perdana Menteri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini, keadaan di Kuala Lumpur adalah tenang dan terkawal.

Menurutnya, pihaknya akan terus memantau aspek keselamatan dan sentiasa siap siaga dalam memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam adalah terjamin.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya menghormati undang-undang dan proses demokrasi di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, polis juga mengharapkan kerjasama yang berterusan daripada penyokong parti-parti politik dan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi, mencetuskan provokasi termasuk menyebarkan berita, maklumat tidak benar terutamanya berkaitan sensitiviti perkauman mahupun agama yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.

“Tindakan yang tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mengganggu gugat ketenteraman awam," katanya

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: