Jenazah lima beranak mangsa kebakaran dijangka dikebumi hari ini

Jenazah lima beranak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin dijangka dikebumikan pada Isnin.
Jenazah lima beranak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin dijangka dikebumikan pada Isnin.
A
A
A

JASIN - Jenazah lima beranak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini, pada Khamis lalu dijangka diserahkan kepada waris pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, kesemua jenazah itu boleh dituntut selepas mengetahui hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diambil daripada mangsa wanita hamil itu.

"Sekiranya keputusan DNA diperoleh hari ini, insya-ALLAH jenazah akan diuruskan segera untuk urusan pengebumian," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Sementara itu, kakak ipar mangsa, Nur Saadah Sa'ari, 37, ketika dihubungi berkata, dia diberitahu jenazah akan dituntut dari Hospital Jasin seawal kira-kira jam 5 petang.

"Dimaklumkan paling awal kesemua jenazah dibenar untuk proses tuntutan bagi urusan pengebumian sama ada selepas Asar atau paling lewat selesai Maghrib.

"Kami mengucapkan terima kasih kerana membantu dan mendoakan buat kami sekeluarga," katanya.

Difahamkan, solat jenazah lima beranak itu akan diadakan di Masjid Baiturrahman Kampung Berangan Enam, Umbai di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Wakaf Hj Johari Bakar kampung sama.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang ibu hamil bersama empat anaknya rentung selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Mangsa maut dikenali sebagai Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13, Izz Daffa Hafizuddin,7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi empat tahun manakala suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun mengalami sesak nafas akibat menghidu kepulan tebal asap kebakaran dan menerima rawatan di Hospital Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!