[VIDEO] Lima beranak rentung: 'Saya dengar suara jiran jerit minta tolong'

A
A
A

JASIN - Seorang warga emas tidak menyangka bunyi bising dari arah rumah jiran, rupanya kejadian kebakaran yang menyebabkan lima beranak rentung dalam kejadian di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pada awal pagi Khamis.

Abdul Kahar Ahmad, 70, berkata, dalam kejadian jam 1.32 pagi itu, dia dan isteri berada di dapur rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah mangsa, sebelum mendengar jeritan dan kekecohan berlaku.

Menurutnya, dia segera menjenguk ke arah tingkap dan melihat api sudah marak dari bumbung dan tingkap rumah separa batu serta kayu yang dihuni enam sekeluarga berkenaan.

Kebakaran rumah yang mengorbankan lima beranak termasuk tiga kanak-kanak di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pada awal pagi Khamis. Gambar kecil: Abdul Kahar
Kebakaran rumah yang mengorbankan lima beranak termasuk tiga kanak-kanak di Kampung Berangan Enam, Umbai di sini pada awal pagi Khamis. Gambar kecil: Abdul Kahar

"Kemudian saya dengar suara jiran lelaki berusia 35 tahun itu menjerit meminta tolong dan mengarahkan isteri serta empat anaknya keluar menyelamatkan diri.

"Anak saya terus menghubungi bomba dan anak lelaki bantu selamatkan suami mangsa yang cedera selepas terjun dari tingkap rumah mereka," katanya ketika ditemui di lokasi di Kampung Berangan 6, di sini, pada Khamis.

Kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dua minggu lalu.
Kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dua minggu lalu.

Tambah lelaki itu, dia sekeluarga tidak dapat berbuat apa-apa kerana api begitu marak selain pintu serta tingkap jeriji yang didiami keluarga itu sejak tiga tahun lalu berkunci.

Ujarnya, lebih menyedihkan keluarga itu juga baru ditimpa kemalangan jalan raya di Alor Gajah dua minggu lalu sebelum diuji dengan musibah kebakaran ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan suami dia mengalami patah kaki dalam kemalangan itu dan yang lain selamat.

"Kasihan pintu semua dah terkunci mereka nak lari-lari ke mana dan tak dapat selamatkan diri," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!