Derma RM1 sebulan, bangunkan semula Gaza

MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI

Peserta Perhimpunan ‘Protes Plan Trump Usir Warga Gaza’ membawa plakad tanda desakan terhadap AS.
Peserta Perhimpunan ‘Protes Plan Trump Usir Warga Gaza’ membawa plakad tanda desakan terhadap AS.
A
A
A

TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, berhubung bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza menerusi panggilan telefon pada Jumaat lalu, membuktikan Malaysia terus komited membantu rakyat Palestin.

Perdana Menteri dan El-Sisi juga senada bahawa Malaysia dan Mesir menolak sama sekali rancangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) untuk menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.

Mereka menolak cadangan AS dan Israel kerana tahu rancangan tersebut memberikan kesan negatif kepada usaha Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka selepas lebih 2 juta orang awam dihalau keluar dari Gaza.

Imej lakaran Projek Bandar Wakaf dan Masjid Shah Alam yang akan dibina di Gaza.
Imej lakaran Projek Bandar Wakaf dan Masjid Shah Alam yang akan dibina di Gaza.

Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir yang sentiasa memudahkan usaha kerajaan Malaysia menghantar bantuan kemanusian dan perubatan kepada rakyat Palestin.

Dari sudut lain, Malaysia juga perlu memanfaatkan kedudukan selaku Pengerusi ASEAN untuk terus memberi tekanan kepada AS dan Israel supaya tidak membatalkan gencatan senjata yang telah dicapai antara rejim Zionis dan pejuang Hamas di bumi Gaza sekarang.

Langkah itu perlu susulan ugutan dibuat oleh Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa rejim Zionis untuk menamatkan gencatan senjata jika Hamas gagal memenuhi permintaan mereka.

Malah, ramai pemerhati politik antarabangsa dan pakar geostrategis berpandangan gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Hamas tidak akan bertahan lama.

Artikel Berkaitan:

Itu kerana gencatan senjata berkenaan sebenarnya adalah sebahagian rancangan AS untuk menghantar lebih banyak senjata pemusnah kepada rejim Israel.

Kerajaan AS diketuai Presiden Donald Trump meluluskan penjualan senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza
Kerajaan AS diketuai Presiden Donald Trump meluluskan penjualan senjata lebih RM32 bilion, bantu Israel serang Gaza

Perkara itu terbukti apabila AS meluluskan penjualan senjata bernilai RM32.855 bilion termasuk bom, peluru berpandu dan peralatan ketenteraan sebagai persiapan untuk rejim Zionis Israel terus melakukan genosid membantu persiapan perang rejim Zionis di Gaza.

Jabatan Negara AS juga telah memberi kelulusan untuk penjualan bom bernilai AS$6.75 bilion (RM29.969 bilion), kit panduan dan pemicu selain daripada peluru berpandu Hellfire bernilai AS$660 juta (RM2.930 bilion).

Penjualan senjata berkenaan akan meningkatkan keupayaan Israel untuk menghadapi ancaman semasa dan masa depan, bagi mengukuhkan pertahanan tanah airnya dan bertindak sebagai pencegah terhadap ancaman serantau.

Oleh itu, ramai penganalisis meramalkan rejim Zionis Israel akan mencari pelbagai alasan untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas orang awam dan pejuang Hamas menjelang bulan Ramadan ini.

Penduduk Gaza membawa barangan peribadi dilihat berjalan menuju ke rumah masing-masing di Genting Gaza selepas gencatan senjata dipersetujui antara Hamas-Israel. - AFP
Penduduk Gaza membawa barangan peribadi dilihat berjalan menuju ke rumah masing-masing di Genting Gaza selepas gencatan senjata dipersetujui antara Hamas-Israel. - AFP

Jadi Malaysia, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, wakil kerajaan Palestin dan pejuang Hamas perlu duduk semeja bagi mengenal pasti pelan alternatif sekiranya rejim Zionis Israel benar-benar menamatkan gencatan senjata dan melakukan serangan ke atas penduduk Gaza, tidak lama lagi.

Tujuan utama rejim Israel mahu melancarkan serangan adalah untuk menghapuskan 100 peratus ancaman pejuang Hamas yang kini bersembunyi di kubu bawah tanah dan timbunan bangunan di bumi Gaza.

Tambahan pula, rejim Zionis Israel sememangnya bangsa yang sering mungkir janji dan sentiasa mencari jalan untuk menghalau penduduk Palestin dari Gaza.

Perkara itu bukan lagi rahsia kerana AS dan rejim Israel secara terbuka menyatakan mereka mahu memindahkan kira-kira 2 juta penduduk Islam di Gaza ke beberapa negara lain termasuk Mesir, Jordan dan Indonesia.

AS dan Israel berbuat demikian bagi membolehkan mereka membangunkan semula bumi Gaza untuk dijadikan kawasan penempatan baharu bangsa Yahudi dari seluruh dunia.

Oleh itu sebagai umat Islam, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh sahaja, sebaliknya perlu melakukan sesuatu bagi menghalang rancang rejim Zionis Israel dan AS tersebut.

Paling lemah iman pun lebih 2 bilion umat Islam di seluruh dunia boleh mendoakan semoga ALLAH SWT melindungi rakyat Palestin dan bumi Gaza daripada terus menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

Kita juga boleh menghulurkan derma serendah RM1 sebulan untuk pembangunan semula bumi Gaza dan menjayakan usaha menubuhkan negara Palestin merdeka.

Bayangkan jika setiap daripada kita mendermakan RM1 sebulan untuk pembangunan dan pembebasan bumi Gaza, nescaya usaha penubuhan sebuah negara Palestin merdeka menjadi lebih mudah.

Begitu juga usaha Malaysia untuk membangunkan semula bumi dengan mewujudkan Bandar Wakaf seperti dihajati Perdana Menteri akan berjalan lancar sekiranya seluruh umat Islam bersatu padu.

Sebelum ini media melaporkan Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama dalam kalangan anggota ASEAN bakal melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan nanti.

Kenderaan bantuan PBB melintasi pusat pemeriksaan dikelolakan Mesir dan Amerika Syarikat di jalan Salah al-Din di al-Mughraqa, Genting Gaza. Foto AFP
Kenderaan bantuan PBB melintasi pusat pemeriksaan dikelolakan Mesir dan Amerika Syarikat di jalan Salah al-Din di al-Mughraqa, Genting Gaza. Foto AFP

Projek berimpak tinggi membabitkan kos RM120 juta berkenaan bakal dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri, selaras dengan peranan Malaysia sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.

Antara komponen utama projek berkenaan termasuklah pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Menara Tangki Air – diwakaf oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada komitmen negeri dalam membantu membangunkan semula Gaza.

Komponen kedua merangkumi pembinaan Sekolah Malaysia di Bandar Wakaf Gaza – diwakafkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang diketuai oleh Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.

Projek ketiga merangkumi pembinaan Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya – ditaja oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dengan penglibatan langsung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai pusat makanan komuniti yang akan menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.

Komponen keempat ialah Apartmen Wakaf oleh Negeri-Negeri Lain – Kerajaan negeri Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang telah bersetuju untuk sinergi wakaf di Gaza sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!