Anwar tegas, lantang pertahan Palestin

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Malaysia teguh mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan kemerdekaan mereka.
Sejak Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau secara konsisten tidak berganjak daripada sokongan penuh terhadap perjuangan Palestin, seiring dengan negara-negara Arab dan Islam lain.
Terbaharu pada Jumaat, beliau bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi berpendirian bersama dalam membantu rakyat Palestin, termasuk memberikan bantuan kemanusiaan, perubatan serta menyokong usaha pembangunan semula Gaza.
Usaha tersebut jelas menerusi penentangan segala bentuk penindasan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Ahli Parlimen Tambun itu turut memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan terpengaruh dengan sebarang tekanan atau campur tangan kuasa luar yang cuba merubah hala tuju perjuangan Palestin.
Hal tersebut dibuktikan dengan penolakan terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengusulkan agar negara itu mengambil alih Gaza, satu cadangan yang turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan banyak pihak.
Usaha Malaysia bukan sekadar terbatas kepada sokongan di peringkat antarabangsa, tetapi kesungguhan negara dalam melaksanakan tindakan nyata melalui bantuan berterusan kepada rakyat Palestin.
Kerajaan melalui pendekatannya, jelas bertekad untuk terus memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di Gaza, serta berusaha menamatkan pendudukan Israel yang telah berlangsung lebih tujuh dekad.
Ketegasan Malaysia pimpinan Anwar memperlihatkan konsistensi negara dalam memainkan peranan sebagai suara lantang dalam menuntut keadilan dan keamanan untuk Palestin di persada antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!