Polis belum terima laporan kematian bayi mangsa dera

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Sehingga lewat petang ini, Polis Sibu masih belum menerima laporan rasmi berkaitan kematian bayi lelaki Aariz Harraz Zahin Azman yang koma disyaki menjadi mangsa dera pengasuh di sebuah rumah di Jalan Permai di sini Isnin lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit yang dihubungi mengesahkan, mangsa yang berusia sembilan bulan itu telah kematian otak pada 9.10 pagi tadi.

“Keputusan ujian ke atas otak mangsa untuk kali kedua pagi tadi masih lagi kekal sama dan masih bergantung kepada mesin bantuan oksigen,” katanya.

Menurut beliau, ibu bapa mangsa yang merupakan guru masih belum bersedia untuk menghentikan mesin sokongan hayat yang dipasang pada bayi itu.

“Pihak hospital telah bersetuju dengan pengadu dan isteri untuk menghentikannya pada esok hari. Jika denyutan jantung mangsa berhenti secara tiba-tiba hari ini, bantuan CPR tidak akan dibuat,” katanya.

Bayi malang yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dilaporkan mengalami pendarahan otak dan bengkak kedua-dua mata selain mengalami keretakan tulang di bahagian kiri kepala.

Ibu kepada mangsa, Hajijah Tahir di dalam akaun Facebook beliau yang menggunakan nama “Hzah Jazman” pasrah dan reda denga ketentuan tersebut.

“Ku pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi, Ya Allah, terima kasih pinjamkan Aariz Harraz Zahin,” katanya dalam status yang dimuatnaik pada lebih kurang 11 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Ramai di kalangan netizen yang bersimpati melahirkan perasaan sedih mereka dan memberikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Mangsa berada dalam keadaan lemah ketika dibawa dari rumah suspek di Taman Permai di sini sebelum dikejarkan ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut.

Bayi itu dipercayai telah dihentak pada permukaan keras atau digoncang dengan kuat oleh suspek berusia 39 tahun yang disahkan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi pusat asuhan kanak-kanak.

Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Difahamkan pihak polis akan menyiasat kes tersebut dari setiap sudut secara terperinci untuk melihat sekiranya kes itu boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama