Azab orang awam akibat tanah rizab diceroboh

Kejadian runtuhan tanah yang berlaku di Taman Bunga Raya dekat Tapah pada Isnin lalu.
Kejadian runtuhan tanah yang berlaku di Taman Bunga Raya dekat Tapah pada Isnin lalu.
A
A
A

INSIDEN tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah, Perak pada minggu lalu membongkar kejadian pencerobohan tanah rizab milik Lembaga Air Perak (LAP) bagi tujuan perumahan.

Perkara itu didedahkan Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd Rahim dalam sidang akhbar Isnin minggu lalu apabila mengesan terdapat kerja-kerja penambakan tanah melebihi 10 meter di atas dua saluran paip air mentah di kawasan tersebut.

Dua saluran paip bersaiz 825 mm dan 900 mm itu berfungsi membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh berhampiran bagi kegunaan pengguna di sebahagian daerah Batang Padang dan Hilir Perak.

Pergerakan tanah ditambak tersebut menjadi punca kebocoran pada salah satu saluran paip mentah yang mengakibatkan berlakunya gangguan bekalan air terhadap lebih 50,000 pengguna akaun di Tapah, Bidor dan Teluk Intan.

Kebiasaan paip air ditanam pada kedalaman sekitar satu ke 1.5 meter dari permukaan tanah, namun paip tersebut sudah ditimbus lebih 10 meter iaitu bersamaan bangunan setinggi tiga tingkat itu sudah tentu memberi tekanan hingga menyebabkan kerosakan teruk.

Perkara itu menyebabkan kesukaran kerja-kerja membaiki kebocoran paip dan LAP terpaksa bekerja 24 jam tanpa henti untuk memulihkan kembali bekalan air sejak seminggu lalu.

Runtuhan tanah yang berlaku pada 4 Februari lalu mengakibatkan tiga rumah teres setingkat yang dibeli penduduk daripada pemaju enam tahun lalu mengalami keretakan dan berisiko untuk diduduki.

Isu pencerobohan oleh pemaju yang menambak tanah di kawasan rizab itu menyukarkan kehidupan seharian puluhan ribu penduduk di dua daerah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sehari dua tiada bekalan air tanpa notis sudah memeritkan, apatah lagi seminggu berlalu, ia tentu memberi kesan kepada golongan warga emas, peniaga, pusat dialisis, klinik dan hospital.

Pujian harus diberikan kepada masyarakat yang ‘ringan tulang’ membantu seperti mana usaha Masjid Kampung Poh, Bidor yang menawarkan air daripada paip graviti.

Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hilir Perak mengambil inisiatif menyalurkan lebih 160,000 liter air bersih yang ditapis dari Sungai Perak dan sumber air berhampiran kepada penduduk dengan menggunakan tiga mesin Sistem Penapisan Air Mudah Alih (MWFS) milik agensi itu.

Insiden ini telah membuka mata terhadap kepentingan rizab satu-satu kawasan sebagai zon penampan bagi setiap pembangunan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, rizab bermaksud sesuatu yang diperuntukkan atau disimpan khas bagi sesuatu tujuan tertentu pada masa akan datang atau simpanan.

Natijahnya bukanlah dapat dilihat dalam masa terdekat dan sudah tentu timbul persoalan, bagaimana sesuatu pembangunan kediaman boleh diluluskan di atas tanah rizab?

Pembangunan tanah melibatkan proses yang rumit dan memerlukan kerja yang teliti dan teratur. Proses-proses dalam pemajuan tanah untuk sesuatu perumahan pembangunan melibatkan kebenaran merancang, permohonan ubah syarat dan pecah sempadan tanah, kelulusan pelan bangunan dan lesen pemajuan perumahan serta permit iklan sebelum dijual.

Pembinaan bangunan dan infrastruktur diteruskan dengan kemudahan bekalan air, elektrik sebelum Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan.

Pematuhan kepada semua aspek perundangan dan peraturan penting bagi memastikan projek perumahan dilaksanakan secara teratur, mengikut jadual pelaksanaan dan spesifikasi yang ditetapkan.

Jadi, di mana lompangnya tanah rizab ini boleh diceroboh? Sudah sampai masanya kerajaan negeri perlu meneliti, intai-intai semula tanah rizab milik mereka yang mungkin diceroboh. Penggunaan teknologi seperti pemantauan satelit dan dron boleh membantu mengesan pencerobohan lebih awal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memaklumkan, setakat Disember 2022, sebanyak 7,872.71 hektar tanah kerajaan Perak telah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi iaitu sebanyak 7,307.59 hektar.

Sebanyak 400.09 hektar tanah pula dilapor digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan manakala 165.03 hektar lagi digunakan untuk tujuan pembangunan kediaman iaitu petempatan setinggan.

*Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!