'Semasa tadika sudah pandai berdikari, masuk darjah satu tiada ragam'

KOTA BHARU - Sikap kanak-kanak yang mampu berdikari menyebabkan ibu bapa mereka tidak bimbang meninggalkan mereka meneruskan pembelajaran pada sesi persekolahan baharu 2025/2026 pada Ahad.
Kakitangan bank, Siti Fatimah Che Mohd Yusoff, 39, bersyukur kerana anaknya, Mohd Yusuff Mateen Mohd Azizul, 7, bersemangat hadir ke sekolah tanpa ragam.

Dia tidak menafikan pada mulanya bimbang anaknya mungkin meragam, namun Mohd Yusuff Mateen tidak sabar untuk bertemu rakan-rakan sekolahnya ketika pra sekolah tahun lalu.
"Kita juga yakin dengan kebolehan guru berinteraksi dengan murid-murid dan banyak pengalaman mengurus kanak-kanak," katanya.
Seorang lagi ibu, Siti Fairus Izani, 39, mengakui anaknya, Muhammad Aqil Firdaus Mohammad Zaki, 7, mudah menyesuaikan diri dengan rakan baharu kerana didedahkan dengan persekolahan seawal usia empat tahun.
Katanya, persiapan awal yang dilakukan juga menggalakkan anak bongsu daripada tiga beradik itu teruja untuk hadir ke sekolah.
"Muhammad Aqil Firdaus bangun lebih awal dan bersiap sendiri tanpa banyak ragam dan dia juga senang dijaga," katanya.
Sementara itu, Nik Nur Aisyah Megat Anuar, 33, turut mengakui pada mulanya bimbang anak sulungnya meragam pada hari pertama persekolahan, namun Mohamad Uwais Mohd Najmuddin, 7, kelihatan tenang dan seronok berada di sekolah.
Bagaimanapun katanya, pada hari pertama agak kelam-kabut kerana anaknya perlu bangun lebih awal.
"Saya menghantar Mohamad Uwais ke tadika sejak berusia lima tahun dan dia boleh berdikari tanpa banyak ragam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
