Spiderman ceriakan murid Tahun Satu

Murid SK Dato’ Wan Kemara tidak melepaskan peluang bergambar bersama watak adiwira Spiderman pada Ahad.
Murid SK Dato’ Wan Kemara tidak melepaskan peluang bergambar bersama watak adiwira Spiderman pada Ahad.
A
A
A

CHANGLUN - Kehadiran watak adiwira Spiderman mencuri tumpuan lebih 1,400 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara,di sini, pada hari pertama sesi persekolahan di Kedah pada Ahad.

Dalam tempoh hampir satu jam, individu memakai topeng adiwira terbabit terus menghiburkan murid-murid sekolah dengan pelbagai aktiviti menarik termasuklah persembahan ‘busking’.

Guru penyelaras, Zulkifli Ismail berkata, individu dikenali Spiderbusker dijemput untuk menghiburkan dan menceriakan murid sekolah khususnya pelajar Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan.

"Guru Besar, Mohd Nizam Saidin yang memberi idea ini demi mencipta keunikan dan menceriakan murid SK Dato' Wan Kemara khususnya Tahun Satu.

“Kami memilih Spiderbusker sebab beliau dikenali ramai, sekali gus berharap ia menggembirakan pelajar dan ibu bapa yang hadir," katanya ketika ditemui di pekarangan SK Dato’ Wan Kemara, Changlun, di sini, pada Ahad.

Spiderbusker menceriakan murid SK Dato’ Wan Kemara pada hari pertama persekolahan di Kedah pada Ahad.
Spiderbusker menceriakan murid SK Dato’ Wan Kemara pada hari pertama persekolahan di Kedah pada Ahad.

Zulkifli memaklumkan, seramai 217 murid Tahun Satu yang memasuki alam persekolahan baharu.

Beliau menambah, pihak sekolah membuat persediaan bermula 6.45 pagi menyambut murid dan ‘busking’ bermula antara jam 7 hingga 7.45 pagi.

"Ini juga salah satu daripada ‘fun learning’ untuk mereka. Alhamdulillah, mereka teruja dan gembira,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemilik maskot yang hanya dikenali sebagai Roy, 35, berkata, dia sudah menjadi Spiderbusker selama dua tahun dan ini merupakan kali pertama dia melakukan busking di sekolah.

"Ia satu pengalaman baharu menghiburkan murid dan paling menarik murid-murid bila ternampak saya tadi jadi teruja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!