Tidak kisah berpanas demi ceriakan murid

IPOH - Seorang pengawal keselamatan tidak kisah berpanas dan berpeluh beberapa jam memakai kostum Busu ketika menyambut kehadiran murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Damai, di sini pada Isnin.
Syed Azrul Syed Daud, 50, berkata, kostum maskot seladang itu dipinjam daripada Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Perak demi menghiburkan murid terutama Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026.
"Dalam keadaan cuaca panas bermula sesi pagi dan petang, sudah tentu kita berasa rimas. Tetapi saya tidak kisah malah sanggup ambil cuti kerana mahu menceriakan anak-anak ini untuk datang ke sekolah.

"Jelas nampak di wajah, mereka tersenyum lebar apabila ternampak maskot di pintu sekolah. Setiap kali mereka bersalaman dan mahu bergambar, saya berasa terharu hingga hilang segala rasa penat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Menurut Syed Azrul, dia akan meneruskan khidmat memakai kostum maskot setiap kali hari pertama persekolahan.
Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohamad Halim Arafullah, inisiatif itu mendapat kerjasama dengan pihak sekolah dalam menggalakkan murid hadir ke sekolah tanpa ada adegan 'air mata' terutama murid Tahun Satu.

Tambahnya, seramai 155 murid Tahun Satu mendaftar sekali gus menjadi hampir 1,000 murid memulakan sesi akademik di sekolah berkenaan.
"Setiap tahun kita berusaha memeriahkan kehadiran murid ke sekolah dengan menghadirkan maskot seperti dinosaur dan katak dan tahun ini Busu yang melambangkan negeri Perak.
"Kita mahu pikat 'mood' murid-murid ini agar kembali ceria setelah sebulan bercuti. Kita buat ini kerana mahu anak-anak ini seronok dan tidak takut datang sekolah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!