256,869 murid di Terengganu mulakan persekolahan

MARANG - Seramai 256,869 pelajar termasuk sekolah rendah dan menengah memulakan sesi pembelajaran sesi akademik 2025/2026 yang bermula pada Ahad di 506 sekolah di seluruh Terengganu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 149,314 orang merupakan murid sekolah rendah manakala 107,555 orang melibatkan pelajar sekolah menengah.
Menurutnya, jumlah murid tahun satu bagi sesi akademik 2025/2026 juga meningkat kepada 23,254 orang berbanding 22,126 pada sesi akademik 2024/2025 yang lalu.
"Alhamdulillah...semua pelajar dapat memulakan sesi pembelajaran di 506 sekolah dengan dilengkapi kemudahan.

"Minggu pertama tiada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dijalankan dan hanya sesi orientasi atau takruf untuk memastikan proses penyesuaian pelajar kepada persekitaran sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melalukan lawatan hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Wakaf Tapai, di sini pada Ahad.
Sementara itu, Jelani berkata, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM36,224,100 juga telah selesai diagihkan kepada 241,494 pelajar tahun satu hingga tingkatan Lima di seluruh Terengganu pada musim cuti sekolah baru-baru ini.
"Bagi pelajar Tingkatan Enam dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) agihan akan dibuat pada bulan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
