349,966 murid, pelajar mula sekolah di Kedah

SUNGAI PETANI - Seramai 349,966 pelajar melibatkan 548 sekolah rendah dan 204 menengah di seluruh Kedah memulakan sesi persekolahan 2025/2026 pada Ahad.
Pengarah Pendidikan negeri, Ismail Othman berkata, daripada jumlah itu, seramai 74,003 orang adalah murid dan pelajar baharu.
Beliau berkata, bilangan murid prasekolah yang memasuki seramai 13,855 murid, 29,934 murid tahun satu dan 30,194 pelajar Tingkatan Satu.
"Hari pertama sekolah ini berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.

"Pada minggu pertama persekolahan, konsep pembelajaran lebih fokus kepada aktiviti yang mesra dan ceria untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang penuh dengan kasih sayang," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang,di sini, pada Ahad.
Beliau memaklumkan, pihaknya memberi ruang dan peluang untuk melaksanakan perjalanan silaturahim di sekolah ini dalam keadaan mesra, ceria dan menyeronokkan.
Tambahnya, guru-guru melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggembirakan dan menyeronokkan untuk murid-murid supaya mereka seronok datang ke sekolah.
Menurutnya, konsep yang diutamakan dalam minggu pertama ini adalah "Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Sejahtera, dan Negara Sejahtera."
Kata beliau lagi, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan juga bertujuan untuk memberi kesan dan impak dari segi sosial, emosi dan semangat murid-murid.
Beliau memaklumkan, bagi murid-murid yang baru memasuki tahun satu, program-program yang menyeronokkan diharap dapat meningkatkan emosi mereka agar mereka terus berminat untuk hadir ke sekolah setiap hari.
"Kami berharap aktiviti-aktiviti ini akan menjadikan pengalaman persekolahan mereka lebih seronok dan bermakna," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!