PM letak jawatan: Kabinet kerajaan kini hanya interim, caretaker

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri dan pengisytiharan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebentar tadi menyebabkan kedudukan jemaah Kabinet kerajaan kini hanya bersifat 'caretaker'.

Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, jemaah Kabinet menteri sedia ada juga bersifat interim sahaja sementara menanti penubuhan kerajaan baharu.

Menurutnya, ini kerana masalah keretakan dalam parti pemerintah termasuk isu pemecatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin menyebabkan Pakatan Harapan (PH) kehilangan majoriti sokongan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Kelazimannya apabila berlaku keretakan dalam parti pemerintah dan menyebabkan kerusi Ahli Parlimen menyokong kerajaan kurang daripada kerusi majoriti, situasi kerajaan berlaku ketika itu adalah kerajaan minoriti.

"Senario ini pernah berlaku di Australia, United Kingdom dan beberapa negara lain namun situasi semasa di negara kita adalah masalah perpecahan dalam parti kerajaan berlaku seiring peletakan jawatan Perdana Menteri.

"Senario itu pastinya menyebabkan tiada tokoh dalam ahli Parlimen kerajaan mendapat majoriti jelas bagi menggantikan tempat Perdana Menteri. Susulan itu Kabinet sedia ada lebih bersifat 'caretaker' dan interim," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebentar tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan keputusan peletakan jawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mahathir letak jawatan Perdana Menteri

Artikel Berkaitan:

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, surat peletakan itu dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 1 petang tadi.

Bagaimanapun, tiada penyataan alasan peletakan jawatan dan nama pemangku Perdana Menteri dikemukakan.

Dr Mahathir dijangka akan menghadap Agong pada jam 5 petang ini di Istana Negara.

Sementara itu, Dr Muhammad Fathi menegaskan hanya Agong sahaja yang layak menentukan keputusan sama ada berlaku penubuhan kerajaan baharu atau menilai tokoh pemimpin yang mendapat sokongan majoriti rakyat sebagai Perdana Menteri.

"Dalam situasi sekarang, kita pun dapat melihat ramai ahli politik banyak mengunci mulut, tidak nyata apa berlaku... Senario itu saya anggap baik kerana mereka menyedari kepentingan mengelakkan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mendahului keputusan Agong," katanya.