Peniaga kecewa belum berjaya lunas badal umrah untuk datuk, bapa mentua

PUTRAJAYA - Seorang peniaga kecewa kerana masih belum dapat melaksanakan badal umrah untuk datuk dan bapa mentuanya selepas gagal terbang ke Makkah walaupun telah membayar kira-kira RM11,000 kepada sebuah syarikat pengendali ibadah yang terpalit dengan kontroversi pada Januari lalu.
Zainab Zaiha Abdullah, 43, dari Putrajaya berkongsi rasa terkilannya kerana persediaan dan kelengkapan untuk ke tanah suci telah dibuat malah, ibu mentuanya dari Kelantan sebelum ini datang ke Lembah Klang semata-mata untuk menghantarnya ke lapangan terbang.
“Saya akui sangat sedih dan tidak mampu untuk menahan air mata kerana kecewa masih belum melunaskan badal umrah buat Allahyarham bapa mentua serta datuk.
"Jika ditanya apa lagi saya rasa pastinya malu kerana telah mengadakan kenduri doa selamat, namun sehingga kini masih terkandas di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Difahamkan Zainab antara kira-kira 600 jemaah umrah yang gagal diterbangkan ke tanah suci akibat ditunda syarikat pengendali umrah berkenaan.
Zainab berkata, dia turut kecewa kerana syarikat tersebut didakwa gagal memenuhi janji dibuat menerusi iklan pakej umrah mereka.
"Saya mengharapkan perkara baik akan berlaku seperti ditawarkan namun bila tiba masanya tiada apa-apa berlaku.
"Apabila saya hubungi syarikat berkenaan kakitangannya tetap memberikan janji indah dan memberitahu supaya kami jangan mendengar cakap-cakap daripada orang luar,” ujarnya.
Dalam pada itu dia memaklumkan telah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci mengenai kegagalan syarikat terbabit menguruskan urusan umrah mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
