Trump umum cukai timbal balik

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menandatangani memo berhubung pelaksanaan tarif timbal balik ke atas sekutu dan pesaing negara itu dalam tempoh 180 hari.
Tindakannya menandakan peningkatan dramatik dalam perang perdagangan antarabangsa yang dikhuatiri ahli ekonomi bakal mencetuskan inflasi di Washington.
"Kami akan bertindak balas terhadap mana-mana negara yang mengenakan caj ke atas AS. Tanpa kita sedar sekutu Washington sebenarnya lebih teruk berbanding 'musuh perdagangan' negara ini," katanya di Pejabat Oval ketika mengumumkan rancangan tersebut.
Trump turut menyifatkan Kesatuan Eropah (EU) 'benar-benar kejam' dalam hubungan perdagangan dengan AS.
Sementara itu, seorang pegawai Rumah Putih memaklumkan pelaksanaan levi itu akan disesuaikan dengan setiap rakan dagangan AS dan mempertimbangkan tarif yang dikenakan mereka ke atas barangan Amerika di samping cukai 'diskriminasi' seperti cukai nilai tambah (VAT).
"Washington akan mula mengkaji ekonomi di mana negara ini mengalami defisit terbesar atau 'isu paling mengerikan'. Ia mungkin mengambil masa selama beberapa minggu," ujarnya lagi.
Calon Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dalam satu kenyataan memberitahu semakan itu dijangka selesai dalam masa terdekat dan tarif dicadangkan Presiden bakal berkuat kuasa seawal 2 April. - Agensi
INFO:
>Selain EU, keputusan Trump dijangka memberi impak kepada hubungan perdagangan dengan negara seperti India, Vietnam dan Thailand yang mempunyai tarif agak tinggi serta bergantung kepada AS sebagai pasaran besar untuk eksport.
>Pada awal minggu lalu, Trump mengenakan cukai import sebanyak 25 peratus ke atas kesemua keluli dan aluminium yang dibawa masuk ke AS berkuat kuasa bulan depan, sekali gus menamatkan pengecualian ke atas EU, Britain dan Brazil.
>Trump turut menaikkan tarif sebanyak 10 peratus ke atas semua produk dari China. Mengancam untuk mengenakan duti sebanyak 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico yang ditangguhkan hingga Mac.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

