Kekurangan bekalan telur di Amerika Syarikat berlanjutan

Masalah ini menjejaskan beberapa rangkaian pasar raya utama, didorong wabak selesema burung terbesar dalam tempoh 10 tahun.
Masalah ini menjejaskan beberapa rangkaian pasar raya utama, didorong wabak selesema burung terbesar dalam tempoh 10 tahun.
A
A
A

WASHINGTON - Kekurangan bekalan telur di Amerika Syarikat (AS) terus berlanjutan dengan harga kekal tinggi, tanpa sebarang tanda-tanda akan pulih dalam masa terdekat, lapor Xinhua.

Masalah ini menjejaskan beberapa rangkaian pasar raya utama, didorong wabak selesema burung terbesar dalam tempoh 10 tahun.

Wabak itu memaksa petani memusnahkan berjuta-juta ayam, sekali gus menyebabkan harga telur di AS meningkat dua kali ganda sejak 2023.

Jabatan Pertanian AS meramalkan harga telur akan melonjak sebanyak 20 peratus tahun ini.

Pakar ekonomi di Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Dasar, Dean Baker memberitahu Xinhua bahawa harga telur melonjak dengan ketara dan tidak dapat dipastikan sama ada trend itu akan berterusan.

Menurut data rasmi, harga purata sedozen telur gred A bersaiz besar adalah AS$4.15 pada Disember 2024, meningkat 14 peratus berbanding AS$3.65 pada November.

Ini merupakan peningkatan lebih 60 peratus berbanding AS$2.51 setahun lalu, lapor CBS News.

Pada Jumaat, harga borong bagi sedozen telur putih bersaiz besar mencecah AS$8, mengatasi rekod sebelumnya, menurut data dari Expana, lapor CNBC.

Artikel Berkaitan:

Lebih 20 juta ayam di AS mati akibat selesema burung pada suku terakhir tahun lalu, menurut Jabatan Pertanian AS.

Dengan virus itu terus merebak, kekurangan bekalan telur dijangka berlarutan.

"Kita tidak boleh menyelesaikan masalah ini dalam sehari. Ia memerlukan proses enam hingga sembilan bulan.

"Kekurangan bekalan ini menyebabkan gangguan bersifat sementara dan tempatan di beberapa pasaran," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Telur Amerika, Emily Metz, kepada CNN pada Januari.

Penganalisis politik berpandangan bahawa jika isu ini terus menjadi perdebatan politik, ia boleh memberi kesan negatif kepada pentadbiran semasa, terutama ketika inflasi makanan dan perumahan masih berada pada paras tinggi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!