Cadangan portfolio hal ehwal agama bukan Islam bukan pendirian DAP - Fahmi

PUTRAJAYA - Cadangan portfolio hal ehwal agama dipecahkan kepada Islam dan bukan Islam bukan pendirian DAP.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dijelaskan pemimpin parti berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pagi Jumaat.
"Perkara ini ada dibincangkan dan ia tidak pernah berbangkit, malah ketua parti beliau (DAP) sendiri mengatakan itu bukan pendirian parti, tetapi sebagai seorang ahli Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu mencadangkan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Langkah itu, ujarnya, penting bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini dan memastikan tiada pihak yang terpinggir.
Cadangan itu kemudiannya mengundang kritikan pelbagai pihak merentas parti yang senada menolak perkara tersebut.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan itu tidak dipersetujui oleh kerajaan.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang mempunyai mekanisme jawatankuasa harmoni yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai agama di Malaysia untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan perpaduan.
"Jadi saya rasa cadangan beliau tidak berbangkit dan tidak ada keperluan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!