Tidak sempat kaut untung jual mercun, dua lelaki ditahan PGA

RANTAU PANJANG - Dua lelaki tidak sempat mengaut keuntungan daripada hasil jualan mercun selepas mereka ditahan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dalam sekatan jalan raya (SJR) Chabang Empat Salam di sini pada Khamis.
Kira-kira jam 12.10 pagi semasa penugasan Op Taring Wawasan, anggota mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas kereta terbabit telah menemukan dua kotak serta tiga guni yang mengandungi mercun pelbagai jenis dipercayai diseludup dari Thailand.
"Mercun yang bernilai RM7,000 itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan.
"Kes terbabit disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan kesemua barangan rampasan serta suspek dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Menurut beliau, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!