Premis warga asing digempur di bandar Puncak Alam

Sebuah restoran diperiksa dan didapati melanggar beberapa peraturan - Foto MPKS
Sebuah restoran diperiksa dan didapati melanggar beberapa peraturan - Foto MPKS
A
A
A

KUALA SELANGOR - Premis perniagaan dikendalikan warga asing digempur 35 anggota Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi operasi bersepadu di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di sini.

MPKS dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang di empat lokasi berbeza pada Khamis itu turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor).

Menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, operasi itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan tempatan oleh premis perniagaan khususnya dikendalikan oleh warga asing.

Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komunit - Foto MPKS
Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komunit - Foto MPKS

“Di lokasi pertama, sebuah restoran diperiksa dan didapati melanggar beberapa peraturan. Dua kompaun dikeluarkan berkaitan lesen dan iklan manakala satu notis berhenti perniagaan juga dikenakan. Beberapa barang seperti kerusi, meja, tong gas dan dapur gerai disita.

“Lokasi kedua juga membabitkan sebuah restoran yang didapati melakukan lebih banyak pelanggaran. Empat kompaun dikeluarkan kerana operasi tanpa lesen, iklan tidak sah dan pencerobohan kaki lima.

“Notis berhenti perniagaan turut dikeluarkan dan barang seperti tong gas, meja makan, kerusi dan dapur gerai disita,” menurut kenyataan itu.

MPKS berkata, serbuan di lokasi ketiga pula, empat kompaun dikeluarkan kerana halangan, ketiadaan lesen, iklan tidak sah dan isu tanjakan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, notis berhenti perniagaan turut dikeluarkan dan barang seperti penyedut vakum, tong sabun, pam angin, pam air, dan mesin ‘fogging’ disita.

Pemeriksaan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang di empat lokasi berbeza - Foto MPKS
Pemeriksaan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang di empat lokasi berbeza - Foto MPKS

“Di lokasi keempat, dua kompaun dikeluarkan kerana ketiadaan lesen dan iklan tidak sah. Notis berhenti perniagaan juga dikeluarkan dan barang seperti penyedut vakum, pemampat udara, tong bancuh sabun, pam angin dan pam air disita.

“Selain itu, SSM turut mengambil tindakan di lokasi ini iaitu Tindakan Kompaun Terus mengikut Kaedah 17A (2) APP 1956 kerana tidak mempamerkan papan tanda nama perniagaan dan nombor perniagaan,” ujarnya.

MPKS menambah, tindakan tegas itu diharap dapat meningkatkan kesedaran dan pematuhan dalam kalangan peniaga, khususnya warga asing terhadap peraturan ditetapkan PBT.

"Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!