Lebih 12 jam padam api belukar Ayer Keroh

MELAKA - Pasukan Bomba Melaka terpaksa menempuh masa lebih 12 jam untuk memadamkan kebakaran lalang belukar seluas kira-kira 6.8 hektar yang turut melibatkan puncak bukit di Taman Muzaffar Height, Ayer Keroh di sini pada petang Khamis.
Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Mohd Khairulnizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.50 petang sebelum 29 anggota bomba dan 10 aset memadam kebakaran di gerakan ke lokasi berkenaan.
"Empat balai bomba yang terlibat termasuk Ayer Keroh, Bukit Katil, Melaka Tengah dan Tangga Batu.
"Kebakaran belukar dianggarkan berkeluasan 1.2 hektar dan terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Kawasan A di puncak bukit, sebelah Condominium Muzaffar Height (Kawasan B) dan pencawang Tenaga Nasional Berhad (Kawasan C)," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Jelasnya, jentera dari balai bomba Ayer Keroh melakukan pemadaman dari atas puncak bukit menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki iaitu dianggarkan jarak sepanjang 152 meter dari tangki air jentera dan dibantu oleh jentera balai bomba Tangga Batu.

Ujarnya, manakala bagi kawasan B dan C, jentera bomba mengawal dan memadam api menggunakan dua aliran hos sepanjang 91 meter dari jentera tangki kaedah pemerap api.
Katanya, faktor cuaca kering dan panas menjadi antara punca api merebak begitu pantas dan bomba terpaksa mengambil masa yang lama untuk memadam kebakaran sehingga ia merebak kepada seluas 6.8 hektar.
"Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut memberi bantuan sumber air dengan membuka pintu tangki air yang terdekat sehingga operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam5.28 pagi Jumaat, " katanya lagi.
Tambahnya, bagaimanapun tiada mangsa yang terlibat dan operasi pemadaman itu juga dibantu 22 anggota dari agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan SAMB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!